Jumaat, 8 Mei 2020 | 12:47pm

Separuh syarikat sukar bertahan selepas dua bulan

KUALA LUMPUR: Lebih separuh responden, atau 53.4 peratus daripada 4,094 syarikat dan firma perniagaan hanya mampu bertahan satu hingga dua bulan sekiranya kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji diberikan kepada pekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dapatan itu diperoleh daripada responden yang menyertai Survei Khas Kesan Covid-19 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kaji selidik itu mendapati, sepanjang tempoh PKP, 67.8 peratus responden menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh berkenaan, manakala 12.3 peratus syarikat memperoleh pendapatan melalui jualan atau perkhidmatan atas talian dan 9.8 peratus daripada jualan di premis fizikal.

"Kajian juga mendapati, sebanyak 88.8 peratus responden dari kategori syarikat sendirian berhad menghadapi isu dalam pembayaran gaji pekerja.

"Sebaliknya, syarikat hak milik perseorangan pula menyatakan cabaran utama adalah ketiadaan pelanggan iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5 peratus)," kata kaji selidik itu.

Kaji selidik khas itu dilaksanakan secara dalam talian pada 10 April hingga 1 Mei lalu, diwakili oleh syarikat dan firma perniagaan berstatus mikro sebanyak 43.4 peratus, diikuti oleh perniagaan berstatus kecil (40.4 peratus), berstatus sederhana (9.1 peratus) dan berstatus besar (7.2 peratus).

Kaji selidik juga mendapati sebanyak 42.5 peratus responden menganggarkan tempoh lebih daripada enam bulan diperlukan bagi syarikat atau firma perniagaan masing-masing untuk kembali pulih seperti biasa sekiranya COVID-19 berjaya dibendung.

"Manakala, 28.7 peratus responden menganggarkan tempoh empat hingga enam bulan diperlukan.

"Sebaliknya, 1.9 peratus responden menyatakan syarikat mereka tidak akan pulih dan dijangka terpaksa ditutup," katanya.

Kajian juga mendapati sebanyak 68.9 peratus responden menggunakan simpanan sebagai sumber utama bagi menampung kos operasi atau modal kerja sepanjang PKP, diikuti 19.8 peratus melalui pinjaman dan 11.3 peratus adalah suntikan modal.

Dua bantuan utama yang diperlukan oleh syarikat adalah bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan (83.1 peratus) dan pengurangan cukai syarikat (67.0 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sepanjang PKP, pelbagai insentif yang diberikan kerajaan antaranya dana RM10 bilion, khusus untuk membantu meringankan beban kewangan perusahan kecil dan sederhana (PKS), serta perusahaan mikro.

Katanya, ia langkah PRIHATIN Tambahan yang radikal dan mampu merangsang industri PKS di negara ini selain menghidupkan kembali ekonomi negara pada masa kini.

"Dengan sebab itu, melalui dapatan Survei Khas ini, sebanyak 52.1 peratus syarikat menyatakan Pakej PRIHATIN ini dapat meringankan beban mereka," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X