Rabu, 13 Mei 2020 | 12:17pm
Gambar fail. - Foto AFP
Gambar fail. - Foto AFP

Ekonomi Malaysia berkembang 0.7 peratus pada suku pertama 2020

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan perlahan 0.7 peratus pada suku pertama 2020, namun mengatasi jangkaan umum sebahagian besar penganalisis yang mengunjurkan penguncupan antara -0.2 peratus hingga -4.2 peratus.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) itu juga lebih rendah berbanding suku keempat 2019 iaitu 3.6 peratus, dan ia juga terendah sejak suku ketiga 2009 ketika krisis kewangan global.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, penularan pandemik COVID-19 menjejaskan pertumbuhan merentasi ekonomi utama dan serantau termasuk Malaysia, yang mana kebanyakannya melaksanakan langkah sekatan dan kawalan pergerakan yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan permintaan.

Beliau berkata, penularan virus itu mencetuskan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku dan pihaknya mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup pada suku kedua 2020.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 sememangnya memberi impak kepada ekonomi. Malaysia akan berdepan penguncupan pada suku kedua 2020, tetapi akan pulih semula pada suku ketiga 2020," katanya pada sidang media maya di sini, hari ini.

Pada suku pertama 2020 memperlihatkan sektor perkhidmatan dan perkilangan sederhana sementara sektor lain mencatatkan penguncupan.

Dalam suku tahunan itu, permintaan luaran dan pelaburan merosot, sementara penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan sederhana.

Nor Shamsiah berkata, selepas pertumbuhan kukuh pada Januari dan Februari 2020, aktiviti ekonomi terus mencatatkan aliran menurun mendadak dengan pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, langkah kawalan pergerakan termasuk perjalanan luar negara dan domestik, had kerja dan tempoh operasi serta jarak sosial telah menjejaskan aktiviti ekonomi secara ketara.

Katanya, pengeluaran hanya dibenarkan untuk barangan dan perkhidmatan perlu saja dan sektor berintensifkan buruh dan pengguna juga terjejas.

Pada suku pertama 2020, kadar inflasi kekal sederhana pada 0.9 peratus.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X