Rabu, 13 Mei 2020 | 3:15pm
Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia (BNM)

Permohonan SRF bernilai RM10 bilion diluluskan

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) diluluskan oleh institusi kewangan dengan nilai RM10 bilion setakat 4 Mei 2020, demikian kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, sejak SRF disediakan pada 6 Mac 2020, institusi kewangan peserta bersama-sama BNM telah melaksanakan bantuan berkenaan dengan segera bagi memastikan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh manfaat dengan cepat.

Katanya, permintaan terhadap SRF adalah sangat menggalakkan dan peruntukan sebanyak RM5 bilion yang diumumkan sebelum ini telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

Kemudahan itu juga, jelasnya, akan memberikan manfaat secara langsung kepada 9,000 PKS di seluruh Malaysia dan mengekalkan lebih 200,000 pekerjaan.

"Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi lebihan permohonan yang telah diluluskan oleh institusi kewangan peserta setakat 4 Mei 2020.

"Sehubungan itu, jumlah akhir peruntukan adalah sebanyak RM10 bilion," katanya pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2020 di sini, hari ini.

Berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur, PKS juga boleh memohon skim pembiayaan sedia ada yang ditawarkan oleh kerajaan, institusi kewangan serta peruntukan yang masih tersedia melalui Tabung BNM untuk PKS (Kemudahan Semua Sektor Ekonomi, Kemudahan Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital, serta Kemudahan Usahawan Mikro).

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform 'imSME' yang boleh membantu membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.

Pada suku pertama tahun 2020, institusi kewangan secara keseluruhan mengeluarkan RM62 bilion pembiayaan kepada PKS.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM48 bilion adalah untuk tujuan modal kerja.

Pada suku pertama 2020, BNM berkata, pembiayaan bersih berkembang pada kadar yang mampan pada asas tahunan sebanyak 4.7 peratus, disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi.

Ia menjelaskan, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat, sementara pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menurun.

Namun, katanya, permintaan untuk pinjaman perniagaan dan isi rumah mencatatkan pertumbuhan yang perlahan berbanding dengan suku tahunan sebelumnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X