X
Isnin, 18 Mei 2020 | 2:04pm
James Dyson, pencipta dan pengasas syarikat barangan elektrik Dyson Ltd. - Foto AFP
James Dyson, pencipta dan pengasas syarikat barangan elektrik Dyson Ltd. - Foto AFP

Nilai kekayaan hartawan Britain susut, James Dyson muncul paling kaya

LONDON: Hartawan Britain kehilangan puluhan bilion pound dengan nilai kekayaan susut buat pertama kali ekoran krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19.

Senarai Individu Kaya 2020 yang menghasilkan ranking tahunan 1,000 individu paling kaya di Britain sejak 1989 yang keluarkan Sunday Times, mendapati individu paling kaya kehilangan £54 bilion (RM284.03 bilion) dalam tempoh dua bulan lalu.

Lebih separuh daripada hartawan di Britain memperlihatkan penurunan nilai mereka sebanyak £6 bilion (RM31.6 bilion), penurunan kekayaan kolektif mereka yang belum pernah terjadi sebelum ini sejak 2009 dan krisis kewangan.

Pencipta, James Dyson berada pada kedudukan teratas buat kali pertama dengan anggaran kekayaan berjumlah £16.2 bilion (RM85.2 bilion).

Akbar itu melaporkan kedudukan Dyson melonjak dari tempat kelima tahun lalu dibantu prestasi perniagaannya yang semakin kukuh dan kejatuhan kekayaan hartawan dalam senarai 10 teratas.

Hinduja bersaudara yang berada pada kemuncak senarai tahun lalu dengan nilai kekayaan £22 bilion (RM115.7 bilion) mencatatkan penurunan kekayaan terbesar berjumlah £6 bilion (RM31.6 bilion) dan kini berkongsi kedudukan di tempat kedua bersama usahawan David dan Simon Reuben.

Ketua di firma petrokimia Ineos, Jim Ratcliffe, yang menduduki tempat pertama tahun 2018, juga menyaksikan penurunan nilai harta sebanyak £6 bilion (RM31.6 bilion) kepada £12.15 bilion (RM63.9 bilion).

Usahawan keluli, Lakshmi Mittal menjadi antara individu dengan penyusutan kekayaan mendadak iaitu hampir £4 bilion (RM21 bilion) yang menyaksikan beliau berada di kedudukan ke-19 dengan nilai kekayaan £6.78 bilion (RM35.7 bilion).

Secara keseluruhan, senarai tahun ini mengukur kekayaan individu paling kaya Britain dengan nilai keseluruhan £743 bilion (RM3.9 trilion), susut £29 bilion (RM152.5 bilion) berbanding tahun lalu.

Jumlah hartawan susut sebanyak empat kepada 147 individu, namun London kekal sebagai bandar paling kaya di dunia dengan memiliki 89 individu dilahirkan, tinggal atau dengan sebahagian besar aset mereka yang berpusat di bandar itu.

"Analisis terperinci pertama mengenai kewangan individu kaya sejak wabak COVID-19 bermula akan meningkatkan kebimbangan bahawa Britain memasuki kemelesetan yang lebih dalam dan jangka panjang," kata Sunday Times.

Akhbar itu menyatakan sekurang-kurangnya 63 senarai anggota, termasuk 20 hartawan, telah berusaha menggunakan skim melepaskan sementara (furlough) pekerja yang dikendalikan oleh kerajaan yang membayar kakitangan hingga 80 peratus daripada gaji mereka sehingga £2,500 (RM13,149.60) sebulan semasa krisis.

Mereka termasuk Sri dan Gopi Hinduja, pemilik Hinduja Group of companies berpangkalan di London yang melepaskan sekitar 360 pekerja di Optare, iaitu syarikat pembuat bas berpusat di utara England.

Ratcliffe yang memiliki rangkaian hotel The Pig, yang telah melepaskan sebahagian besar pekerjanya, sementara beliau juga memohon pinjaman darurat dari kerajaan untuk menjalinkan usaha sama antara Ineos dan PetroChina, milik kerajaan China.

Info: Senarai 10 terkaya Britain

1. James Dyson dan keluarga - £16.2 bilion (RM85.2 bilion)

2. Sri dan Gopi Hinduja serta keluarga - £16 bilion (RM84.16 bilion)

3. David dan Simon Reuben - £16 bilion (RM84.16 bilion)

4. Leonard Blavatnik - £15.8 bilion (RM83.1 bilion)

5. Jim Ratcliffe - £12.2 bilion (RM64.2 bilion)

6. Kirsten dan Jorn Rausing - £12.1 bilion (RM63.6 bilion)

7. Alisher Usmanov - £11.7 bilion (RM61.5 bilion)

8. £10.5bn -- Guy, George dan Galen Jr Weston serta keluarga - £10.5 bilion (RM55.2 bilion)

9. Charlene de Carvalho-Heineken dan Michel de Carvalho -

£10.3 bilion (RM54.2 bilion)

10. Duke of Westminster dan the keluarga Grosvenor - £10.3 bilion (RM54.2 bilion)

- AFP

Berita Harian X