Isnin, 18 Mei 2020 | 11:35pm
Kerajaan akan memperkenal program keusahawanan belia termasuk untuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi yang menerima kesan akibat penularan COVID-19. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD
Kerajaan akan memperkenal program keusahawanan belia termasuk untuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi yang menerima kesan akibat penularan COVID-19. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD

Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang menggariskan enam strategi utama.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan; memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera, selain memastikan kekal berdaya saing dan mampan.

Pelan itu, katanya, mengandungi 30 program akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka pendek bermula Mei hingga Disember depan, manakala jangka sederhana bermula Januari hingga Mei tahun depan.

"Lebih 20,000 usahawan merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana, koperasi dan sektor informal akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini.

"Kita juga membawa 19 program dan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan. Antaranya permohonan penambahan dana bagi TEKUN Nasional dan agensi di bawah kementerian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tambahan dana bagi TEKUN Nasional perlu dilaksanakan kerana kementerian menerima jumlah banyak permohonan pembiayaan daripada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Antara inisiatif akan dilaksanakan ialah program keusahawanan bidang pertanian, memanfaatkan teknologi terkini seperti fertigasi dan program Mobilepreneur yang memberi peluang pekerjaan kepada belia dengan pembiayaan disediakan melalui agensi di bawah kementerian berkenaan.

"Kerajaan komited untuk membantu usahawan terjejas, kembali memulakan perniagaan supaya ekonomi negara dapat berkembang lebih baik.

"Kita juga sudah mulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi melaksanakan program keusahawanan belia, khususnya dalam kalangan pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi serta belia hilang pekerjaan akibat penularan COVID-19.

"Diharap pelaksanaan inisiatif baharu ini dapat menggerakkan semula aktiviti perniagaan IKS dan mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X