Khamis, 21 Mei 2020 | 12:55pm
Gambar fail: Suria KLCC, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad.
Gambar fail: Suria KLCC, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad.

COVID-19: Perniagaan perlu enam bulan pulih operasi

KUALA LUMPUR: Lebih 40 peratus firma perniagaan memerlukan masa lebih dari enam bulan untuk memulihkan kembali operasi yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata walaupun pandemik ini berakhir kelak, negara bakal menyaksikan pengurangan kos, penurunan permintaan dan gangguan kepada rantaian bekalan.

Beliau berkata, ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada pasaran buruh dari segi permintaan jawatan yang lebih rendah berbanding penawaran buruh, dan memberi impak kepada kehidupan seharian.

"Tenaga buruh di Malaysia meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 15.8 juta orang dengan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.8 peratus.

"Kadar pengangguran meningkat dengan ketara kepada 3.9 peratus setelah kadar pengangguran bulanan pada 2018 hingga 2019 kekal stabil antara 3.2 hingga 3.4 peratus.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai separuh kedua Mac telah memberi kesan kepada bilangan penganggur yang naik 16.2 peratus sepanjang bulan kepada 610,500 orang," katanya ketika membentangkan Sorotan Pasaran Buruh (LMR) hari ini.

Mohd Uzir berkata, pada suku pertama 2020, jumlah jawatan dalam sektor swasta yang terdiri daripada jawatan diisi dan kekosongan jawatan meningkat sebanyak 18,000 kepada 8.6 juta.

Beliau berkata, berikutan pertumbuhan perlahan bagi jawatan diisi dan penurunan kekosongan jawatan, bilangan jawatan pada suku tahun ini meningkat secara marginal berbanding empat suku tahun pada 2019.

Produktiviti buruh Malaysia katanya bagi suku pertama diukur sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja mencatatkan penurunan 0.8 peratus daripada 1.4 peratus pada suku keempat 2019 dengan nilai ditambah perpekerja adalah RM22,578 (S4 2019: RM24,263).

"Manakala produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja meningkat 2.1 peratus (S4 2019: 1.4 peratus) dengan nilai ditambah per jam bekerja adalah RM40 per jam(S4 2019: RM42 per jam)," katanya.

Mohd Uzir berkata, peningkatan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ini adalah berikutan penurunan besar dalam jam bekerja berbanding pengeluaran output yang sederhana.

Beliau berkata, peristiwa luar jangka ini menyebabkan pekerja terdedah kepada risiko pemotongan gaji manakala pencari kerja dijangka berdepan masa yang mencabar untuk mendapatkan pekerjaan berikutan penyusutan permintaan buruh serta pengurangan jam bekerja.

Ini katanya terbukti melalui peningkatan ketara kadar pengangguran berikutan ketidakupayaan permintaan buruh untuk menyerap penawaran.

Status permintaan dan penawaran buruh pada suku tersebut katanya memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

Pasaran buruh negara dijangka akan terus perlahan pada suku kedua 2020 susulan pelanjutan fasa PKP sehingga 3 Mei 2020, diikuti PKPB sehingga 9 Jun 2020.

"Selain itu, permintaan global yang lebih perlahan akan memberi tekanan kepada pasaran buruh dengan pengurangan permintaan buruh terutamanya dalam industri berkaitan perdagangan antarabangsa dan pelancongan.

"Dalam hubungan ini, penyesuaian pantas terhadap ketidakseimbangan pasaran buruh amat penting untuk mempertingkat permintaan jawatan dan sekaligus mengurangkan pengangguran.

"Industri perlu memanfaatkan krisis ini untuk menilai kembali struktur perniagaan sedia ada dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu. Ia merupakan titik perubahan yang bertepatan bagi industri untuk mengadaptasi perubahan teknologi melalui Industri Revolusi 4.0 bagi meningkatkan rantaian nilai untuk mencapai produktiviti yang lebih tinggi," katanya.

Mohd Uzir berkata, dengan penggunaan teknologi, pekerja berpeluang untuk memperkukuh latihan dan kemahiran bagi

mempertingkatkan produktiviti dan kecekapan.

Seterusnya, dalam jangka masa panjang beliau berkata, negara akan dapat menangani isu ketidaksepadanan pasaran buruh dengan mencipta lebih banyak pekerjaan mahir.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X