Khamis, 21 Mei 2020 | 1:26pm

Tempoh permohonan, kelulusan pembiayaan PKS dipendekkan

KUALA LUMPUR: Tempoh permohonan dan mendapatkan kelulusan pembiayaan daripada hampir semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) kini dipendekkan sehingga lebih 75 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata inisiatif penambahbaikan itu bertujuan memudahkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan, sekali gus membolehkan usahawan meneruskan perniagaan dengan lebih cepat.

Katanya, semua usaha ini berjaya dilakukan dalam tempoh tiga minggu selepas beliau mengarahkan Ketua Setiausaha MEDAC untuk menjalankan kajian bagi meneliti semula proses berkaitan.

"Selaras dengan usaha ini, MEDAC melalui hasil kajian yang dibuat oleh Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai yang berkaitan, mengambil langkah menyesuaikan penyampaian program dan perkhidmatan berdasarkan situasi semasa untuk memudahkan lagi urusan usahawan.

"Inisiatif penambahbaikan membabitkan tempoh yang dilaksanakan ini membuktikan MEDAC dan agensinya peka terhadap keperluan semasa dan akan membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19 selain dapat memantapkan lagi PKS di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan wang tunai sebanyak RM12,000 yang disalurkan oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al Barakah, TV3 dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kepada bekas atlet negara.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, antara inisiatif penambahbaikan prosedur adalah membabitkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro - COVID (CBRM) TEKUN Nasional.

Katanya, pemohon kini hanya perlu mengemukakan empat dokumen sokongan sahaja berbanding 17 dokumen sokongan sebelum ini untuk memohon skim berkenaan.

"Dokumen yang diperlukan ialah salinan sijil pendaftaran syarikat atau lesen perniagaan, salinan kad pengenalan, salinan penyata bank

dan salinan bil utiliti.

"Selain itu, kita juga berjaya memendekkan tempoh permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) oleh SME Bank dan Bank Rakyat

kepada lima hari berbanding 30 hari oleh SME Bank dan 21 hari (Bank

Rakyat) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, proses permohonan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dipendekkan kepada 14 hari sahaja berbanding 30 hari.

Katanya, begitu juga permohonan Skim Pembiayaan Francaisor, Pra Francais dan Francaisi oleh Perbadanan Nasional Bhd (PNS) dipendekkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini.

"Bagi proses Audit Pematuhan Program PROTEGE - Ready To Work (RTW), lawatan audit diminimumkan kepada sehari sahaja

berbanding tiga hari.

"Terakhir, permohonan Pengeluaran Penuh Simpanan Usahawan oleh TEKUN Nasional dipendekkan kepada dua hari berbanding tujuh hari sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/Amirudin Sahib
    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/Amirudin Sahib
    Berita Harian X