Isnin, 25 Mei 2020 | 3:46pm
Moody’s Investors Service
Moody’s Investors Service

Tekanan terus meningkat kepada syarikat Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service berkata sebanyak 22 peratus daripada 476 syarikat bukan kewangan yang diberi penarafan di Asia Pasifik (APAC) mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap gangguan COVID-19, meningkat daripada 20 peratus pada Mac.

Ini berikutan impak daripada pandemik terbabit ke atas kualiti kredit syarikat menjadi semakin jelas.

Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Kumpulan Kewangan Korporat Asia Pasifik Moody's, Laura Acres, berkata syarikat penerbangan, pengeluar kereta dan pembekal komponen kereta, kasino, peruncitan dan syarikat hospitaliti terus menanggung impak ekonomi daripada penularan itu.

"Berdasarkan sensitiviti mereka kepada permintaan pengguna dan sekatan perjalanan.

"Selain itu, kemerosotan harga minyak dan permintaan industri yang lemah akan terus menjejaskan sektor minyak dan gas serta perkapalan," katanya dalam kemas kini laporan yang diterbitkan pada April mengenai pendedahan syarikat APAC terhadap pandemik COVID-19.

Daripada 105 syarikat dengan pendedahan tinggi, hampir 90 peratus menghadapi situasi operasi negatif dan telah mempunyai prospek negatif atau dinilai untuk penurunan penarafan, dengan hampir 30 peratus mempunyai mudah tunai yang rendah.

Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody's, Kaustubh Chaubal, berkata perkhidmatan keluli dan lapangan minyak telah menyertai senarai sektor dengan pendedahan tinggi.

"Sebahagian besarnya berikutan pengeluaran dihentikan dan permintaan yang rendah daripada pengguna telah mengekang operasi pengeluar keluli, manakala permintaan lembap dan harga minyak yang rendah memberi kesan kepada syarikat dalam perkhidmatan lapangan minyak," katanya.

Pendedahan adalah sederhana bagi 39 peratus daripada 183 syarikat, naik daripada 36 peratus pada Mac.

Kebanyakan daripada syarikat ini beroperasi dalam sektor perlombongan, hartanah, penapisan dan pemasaran, kimia, protein dan pertanian dengan hanya 4.0 peratus mempunyai mudah tunai yang rendah.

Di samping itu, pendedahan adalah rendah bagi 39 peratus daripada 188 syarikat, yang termasuk syarikat menyediakan perkhidmatan penting atau yang mempunyai model perniagaan yang pelbagai, seperti syarikat teknologi maklumat, telekomunikasi dan media, kejuruteraan dan pembinaan.

Moody's melihat kepada beberapa faktor untuk menilai setiap pendedahan syarikat, termasuk hubungan dengan kawasan yang terjejas dan pendedahan kepada gangguan rantaian bekalan.

Tahap pendedahan menunjukkan potensi kualiti kredit setiap syarikat atau penarafan yang dijejaskan oleh pandemik terbabit.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X