Selasa, 26 Mei 2020 | 7:11am
Corak pemulihan akan sangat bergantung kepada perubahan pelaburan global dalam masa terdekat
Corak pemulihan akan sangat bergantung kepada perubahan pelaburan global dalam masa terdekat

FDI, harga minyak pengaruhi pemulihan pasca COVID-19

KUALA LUMPUR: Perkembangan luaran, pergerakan harga minyak mentah dunia dan corak aliran pelaburan langsung asing (FDI) antara faktor yang dijangka mempengaruhi kemapanan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19, demikian kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata keputusan pelaburan global berkaitan aliran pelaburan langsung asing (FDI) pasca COVID-19 adalah kritikal dalam menentukan trend pembentukan modal dalam kebanyakan negara yang bergantung kepada FDI seperti Malaysia.

Malah, beliau berkata, sebelum COVID- 19, FDI bersih Malaysia mencatatkan aliran menurun, susut sebanyak 30 peratus berbanding paras tingginya RM47 bilion pada 2016.

Katanya, Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif dan memanfaatkan daripada pelaburan berkaitan dengan pembangunan rantaian bekalan global.

Namun, jelasnya, negara ketinggalan berbanding ekonomi lain di rantau ini, yang mana selain Indonesia, Malaysia adalah satu-satunya negara ASEAN-5 yang menyaksikan aliran masuk FDI bersih menyusut antara 2014 dan 2018, daripada 3.1 peratus kepada 2.4 peratus.

"Dengan keadaan perniagaan biasa yang baharu ketika ini, landskap pelaburan masa depan sebahagian besarnya akan menentukan arah aliran FDI Malaysia melangkah ke depan dan membentuk corak pemulihan ekonomi.

"Ringkasnya, corak pemulihan 'V', 'U' atau lain akan sangat bergantung kepada perubahan pelaburan global dalam masa terdekat," katanya dalam nota penyelidikannya.

Nor Zahidi berkata, peningkatan semula pertumbuhan KDNK melebihi potensi pertumbuhan jangka panjang Malaysia boleh berlaku pada 2021 memandangkan asas yang rendah dicatatkan pada 2020.

Beliau berkata, peningkatan mendadak permintaan akan melonjakkan penggunaan swasta pada separuh kedua 2020 jika kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 mula reda.

Katanya, faktor luaran akan bergantung kepada sejauh mana prestasi ekonomi utama dalam jangka terdekat, terutama perkembangan ekonomi China pasca COVID-19.

"Petunjuk ekonomi yang berbaloi untuk dipantau ialah permintaan untuk minyak mentah dan gas asli cecair (LNG). Perkembangan seumpama itu akan memberikan petunjuk bagaimana harga minyak mentah akan bergerak dalam tempoh setahun akan datang," katanya.

Nor Zahidi berkata, pasaran minyak mentah dunia juga penting untuk tinjauan ekonomi Malaysia memandangkan setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak Brent, KDNK benar Malaysia akan meningkat sebanyak RM650 juta dan pendapatan fiskal akan meningkat sebanyak RM340 juta.

Justeru, beliau berkata, peningkatan kukuh dan bermakna dalam harga minyak mentah global akan mengubah tinjauan ekonomi negara pada masa depan.

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK benar untuk 2020 antara -1.5 peratus dan -3.5 peratus. Kami melihat kemungkinan penguncupan KDNK antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus pada suku kedua 2020 meskipun peningkatan kecil berlaku pada separuh kedua 2020.

"Pada suku kedua 2020, pertumbuhan KDNK akan terus terkesan oleh prestasi perdagangan negatif, kemerosotan persekitaran perniagaan dan pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang kurang memberangsangkan," katanya.

Nor Zahidi berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan kekal dengan pendirian akomodatif menerusi pengurangan tambahan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini sebanyak 50 mata asas kepada 2.0 peratus dilihat mampu menyediakan sedikit penampan kepada ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan langkah monetari yang mempunyai hadnya yang tersendiri, pihaknya tidak menjangkakan akan ada lagi pengurangan OPR bagi baki tahun ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X