Selasa, 26 Mei 2020 | 8:53am
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

Pakej Rangsangan Ekonomi AIM bantu 373,815 usahawan

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi merangkumi lapan perkara utama bagi membantu 373,815 usahawan mikro (Sahabat).

Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz, berkata menerusi pakej itu, AIM memperuntukkan sebanyak RM555 juta untuk dimanfaatkan Sahabat menerusi penangguhan kutipan bayaran balik mingguan sehingga 7 Jun ini.

Katanya, agensi itu juga tidak mengenakan sebarang caj atau simpanan wajib sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meringankan beban Sahabat.

"AIM memahami kesukaran yang dialami Sahabat, justeru kami menawarkan kebenaran pengeluaran Simpanan Wajib (SW) dengan had maksimum RM300 seorang membabitkan sejumlah RM112.5 juta.

"Pakej seterusnya ialah pengagihan zakat perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM621,104, dana bantuan kebajikan AIM berjumlah RM2.6 juta dan dana faedah korporat AIM berjumlah RM1.14 juta kepada 17,444 Sahabat asnaf terpilih.

"Penerima masing-masing akan menerima RM250 dan ia membabitkan dana berjumlah RM4,361,104," katanya kepada BH.

Mohamed Shamir berkata, AIM juga membuat penangguhan bayaran ansuran i-Lestari dan i-Usahawan Koop Sahabat selama tiga bulan membabitkan 400 peminjam berjumlah RM300,000 dan tiada caj tambahan turut dikenakan.

Selain itu, katanya, AIM turut menangguhkan lelongan Sahabat Ar-Rahnu yang mana terdapat 1,500 peminjam atau pencagar setakat ini yang berjumlah RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP.

"Kami turut memperuntukkan Pinjaman Tabung Kumpulan (PTK) membabitkan 10,000 Sahabat AIM dengan had maksimum RM1,000 setiap pinjaman dengan jumlah keseluruhan RM10 Juta," katanya.

Beliau menjelaskan, AIM bukan setakat menyediakan pakej terbabit, malah turut membantu usahawan melalui pembiayaan semula, penjadualan semula pembiayaan, tangguh bayaran balik pembiayaan (TBB) dan menawarkan pembiayaan i-Penyayang.

"Semua bantuan ini disediakan untuk membantu Sahabat yang menghadapi masalah kegagalan projek ekonomi disebabkan oleh bencana alam, kejatuhan ekonomi, isu kekeluargaan, kelemahan pengurusan perniagaan atau faktor lain di luar kawalan.

"Dari sudut ekonomi, mahu atau tidak kami akui ia memberi impak yang teruk kepada peniaga. Namun, pemulihan ekonomi dan kehidupan dengan normal baharu yang digariskan perlu dilaksanakan dengan segera.

"Kita harus terus bangkit dan terus mencari peluang baharu dengan cara lebih relevan dengan keadaan semasa," katanya.

Sejak penubuhan AIM pada 17 September 1987, seramai 943,562 usahawan atau Sahabat yang sudah dibantu menerusi pelbagai skim pembiayaan ditawarkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X