Rabu, 27 Mei 2020 | 12:14pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - NSTP/Asyraf Hamzah

MEDAC peruntuk RM452.8 juta bantu PKS, koperasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan RM452.8 juta bagi membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi beroperasi pasca COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata peruntukan itu membabitkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei lalu.

Katanya, pelan pemulihan itu menggariskan enam strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

"Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021.

"Sehubungan itu, dianggarkan sejumlah RM452.8 juta peruntukan memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima merangkumi usahawan mikro, PKS, usahawan sosial, syarikat pemula dan koperasi," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata, bagi Fasa 1 dari Mei hingga Disember tahun ini, sebanyak RM230.1 juta peruntukan diperlukan, dengan RM175.79 juta bagi melaksanakan enam program baharu dan 10 program sedia ada yang akan menggunakan peruntukan MEDAC dan agensinya.

Katanya, RM54.31 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi melaksanakan 14 program baharu.

"Bagi Fasa 2 dari Januari hingga Mei 2021, sebanyak RM222.69 juta peruntukan diperlukan merangkumi 19 program baharu dan 11 program sedia ada.

"Permohonan peruntukan ini sudah dikemukakan oleh MEDAC dan agensi di bawahnya kepada Unit Perancang Ekonomi melalui permohonan peruntukan di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya.

Beliau menambah, MEDAC juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 atau 'Short Term & Medium Term Economic Recovery Plan' (RESTART).

Katanya, MEDAC adalah ahli dalam Kumpulan Kerja SME Recovery Support dengan tumpuan kepada strategi dan inisiatif jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan usahawan yang terjejas serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Pada 8 Mei lalu, MEDAC juga sudah mengemukakan cadangan program keusahawanan Pelan RESTART dengan jumlah peruntukan sebanyak RM261.21 juta.

"Inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan usahawan sentiasa mendapat sokongan daripada MEDAC supaya urusan perniagaan mereka dapat beroperasi seperti biasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X