Rabu, 27 Mei 2020 | 2:23pm
Pelan rangsangan ekonomi pastikan perniagaan dan isi rumah di Jepun dapat bertahan - Foto AFP
Pelan rangsangan ekonomi pastikan perniagaan dan isi rumah di Jepun dapat bertahan - Foto AFP

Pelan rangsangan ekonomi kedua Jepun RM4.4 trilion

TOKYO: Jepun akan memperkenalkan pelan rangsangan ekonomi baharu bernilai lebih AS$1 trilion (RM4.4 trilion), pakej utama kedua dalam tempoh lebih sebulan bagi memastikan perniagaan dan isi rumah kekal bertahan di tengah kemelesetan disebabkan COVID-19 yang semakin mendalam.

Mengikut dokumen yang diperoleh Bloomberg, pakej merangkumi sejumlah jaminan pinjaman dan sumbangan kepada sektor swasta serta 31.9 trilion yen (RM1.3 trilion) menerusi perbelanjaan kerajaan yang akan dibiayai melalui terbitan bon baharu.

Bantuan itu dimuktamadkan selepas data minggu lalu mengesahkan Jepun terjerumus dalam kemelesetan dan tinjauan dalam menangani penularan wabak itu menunjukkan sokongan kepada barisan kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe merosot ke paras terendah.

Usaha mengurangkan beban hutang awam yang paling tinggi di dunia itu terpaksa ditangguhkan ketika fokusnya beralih dalam menyokong ekonomi yang dilanda virus.

Belanjawan tambahan kedua kerajaan dijangka diperkenalkan dalam jangka masa beberapa minggu datang di tengah-tengah jaminan Bank of Japan (BoJ) bahawa ia tidak akan membenarkan hasil bon meningkat.

Minggu lalu, dalam kenyataan bersama, kerajaan dan bank pusat berikrar menjalinkan kerjasama erat bagi mendapatkan dana bagi membantu perniagaan terjejas dan melindungi ekonomi daripada impak COVID-19.

Gabenor BoJ, Haruhiko Kuroda memberitahu Parlimen pada Selasa bahawa bank pusat itu akan membeli lebih banyak hutang kerajaan jika keluk hasil perlu diturunkan.

Isnin lalu, walaupun kerajaan Jepun menamatkan tempoh darurat di seluruh negara dan tiada kes jangkitan baharu, prospek ekonominya kekal suram.

Penganalisis menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut 20 peratus pada suku tahun ini dan risiko pemulihan akan menjadi perlahan selepas import, pelancongan dan pelaburan perniagaan sukar untuk melonjak semula.

- Bloomberg

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X