Rabu, 27 Mei 2020 | 3:50pm
Sebanyak lima lesen bank digital akan diberikan di Malaysia - Gambar hiasan
Sebanyak lima lesen bank digital akan diberikan di Malaysia - Gambar hiasan

Bank digital pacu transformasi industri perbankan negara

KUALA LUMPUR: Penubuhan bank digital dijangka merancakkan lagi inovasi kewangan dan memacu transformasi digital industri perbankan Malaysia, demikian menurut RAM Rating Sdn Bhd (RAM Ratings).

Ketua Bersama Penafaran Institusi Kewangan RAM Ratings, Sophia Lee bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya, aset lima bank digital itu hanya mewakili 0.3 peratus daripada industri.

Justeru, katanya walaupun bank digital adalah inovator berbanding bank tradisional dan akan meningkatkan persaingan, impaknya dijangka terhad dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan sekatan kawal selia ke atas saiz asetnya, iaitu tidak melebihi RM2 bilion.

"Bank Negara Malaysia (BNM) mahukan bank digital menumpukan kepada keterangkuman kewangan bagi menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang mendapat liputan.

"Ini akan mengurangkan persaingan sengit dengan bank tradisional dalam pasaran runcit serta syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam satu komentar.

Lee berkata, langkah BNM mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital, menarik pelbagai pemohon yang berpotensi, termasuk syarikat teknologi, pemain teknologi kewangan (fintech) dan institusi kewangan yang berusaha merebut bahagian pasaran perbankan digital.

Katanya, dengan menggunakan teknologi berdasarkan kepada kecerdasan buatan (AI) atau bentuk algoritma jangkaan lain bersama dengan analisis data raya, bank digital boleh melaksanakan penilaian alternatif risiko kredit bagi membolehkan keterangkuman kewangan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan kos operasi rendah memandangkan kurangnya campur tangan manusia.

Beliau berkata, penerima yang berpotensi termasuklah lapan peratus daripada penduduk dewasa yang tidak menggunakan khidmat bank di Malaysia serta perusahaan kecil dan mikro yang tidak dapat mengakses pembiayaan bank tradisional.

Bagaimanapun, tegasnya, keuntungan bank digital dijangka terhad pada permulaan operasi, sama dengan kebanyakan syarikat pemula niaga, memandangkan perbelanjaan awal yang besar bagi membangunkan ekosistem mereka dan keperluan untuk meningkatkan skala dengan sekali sekali menawarkan kadar promosi di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang kompetitif.

"Bank digital tertakluk kepada rangka kawal selia yang sama seperti bank komersial walaupun keperluan kecukupan modal dan mudah tunai akan dipermudahkan semasa tempoh asas (antara tiga dan lima tahun).

"Justeru, kami tidak menjangkakan bank digital bersaing dengan kadar tidak mampan kerana mereka diperlukan untuk membuktikan kemampanan keuntungan dan perniagaan mereka bagi mengekalkan lesen mereka," katanya.

Kebanyakan usaha niaga digital bank Malaysia setakat ini khususnya membabitkan pembayaran dan bukannya pemberian pinjaman, dengan satu daripada halangan utama adalah tiadanya proses pengesahan identiti digital diluluskan BNM.

Bank pusat tidak lama lagi akan membenarkan penyelesaian eKYC atau 'electronic know-your-customer' bagi penyertaan digital individu dalam sektor kewangan, yang membolehkan bank mendigitalkan proses penyertaan bagi meningkatkan keselesaan dan capaian, selain mengurangkan kos menyediakan perkhidmatan kewangan.

Bagi tempoh jangka panjang, bank digital mungkin akan membawa kesan bermakna dalam landskap perbankan terutamanya bagi bank tradisional yang berinovasi atau mengukuhkan perancangan digital dengan segera.

Berita Harian X