Rabu, 27 Mei 2020 | 4:07pm
Perancis mula melonggarkan kawalan pergerakan sejak 11 Mei lalu - Foto AFP
Perancis mula melonggarkan kawalan pergerakan sejak 11 Mei lalu - Foto AFP

Ekonomi Perancis diunjur menguncup 20 peratus

PARIS: Ekonomi Perancis diunjurkan menguncup 20 peratus pada suku kedua kerana langkah kawalan pergerakan yang bertujuan mengatasi penyebaran pandemik COVID-19, kata agensi statistik nasional, INSEE.

Ia berkata, ekonomi Perancis kini bergerak pada kadar empat perlima daripada tahap sebelum krisis berbanding dengan dua pertiga selama tempoh kawalan pergerakan.

INSEE juga berkata bahawa aktiviti itu disambung semula secara berhemah selepas langkah-langkah kawalan dilonggarkan pada 11 Mei, manakala perbelanjaan pengguna meningkat.

Walaupun begitu, keyakinan pengguna terus merudum daripada penurunan mendadak yang dicatatkan pada April ketika langkah kawalan dikuatkuasakan sepanjang bulan.

Indeks keyakinan pengguna INSEE jatuh dua mata dan kekal pada 93 mata pada Mei, setelah turun lapan mata pada bulan sebelumnya.

Indeks dikira sehingga 100 adalah purata jangka panjang.

"Isi rumah menunjukkan tahap pesimis yang nyata mengenai situasi ekonomi Perancis," katanya.

Sebaliknya, indeks keyakinan perniagaan meningkat sedikit, menjadi 59 mata, selepas mencatatkan bacaan yang disemak semula 53 mata pada April, bacaan terendah sejak INSEE mula mengira indeks pada 1980.

"Petunjuk mengenai aktiviti akan datang sudah berhenti merudum, namun tinjauan kekal suram," kata INSEE. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X