Rabu, 27 Mei 2020 | 4:21pm
Pelaburan global dalam sektor tenaga merosot sebanyak 20 peratus - Foto AFP
Pelaburan global dalam sektor tenaga merosot sebanyak 20 peratus - Foto AFP

Kerajaan, industri global hilang RM4.4 trilion hasil tenaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan industri bakal kehilangan lebih AS$1 trilion (RM4.4 trilion) daripada hasil yang dijana daripada sektor tenaga pada tahun ini, demikian mengikut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Tiga faktor yang menyebabkan penurunan hasil adalah penurunan permintaan bahan api, harga minyak mentah rendah dan peningkatan kes bil tidak berbayar, kata agensi itu dalam laporan bertajuk Pelaburan Tenaga Dunia 2020 yang diterbitkan hari ini.

"Gabungan semua faktor ini bermakna hasil tenaga yang disumbangkan kepada kerajaan dan industri, diunjurkan untuk menyusut lebih AS$1 trilion pada tahun 2020.

"Minyak menyumbang sebahagian besar dalam penurunan ini kerana untuk pertama kalinya, perbelanjaan pengguna global untuk minyak akan jatuh bawah daripada jumlah yang dibelanjakan untuk elektrik," katanya.

Menurut laporan itu lagi, pandemik COVID-19 telah bersedia untuk menyaksikan penurunan pelaburan tenaga global terbesar dalam sejarah, dengan perbelanjaan dijangkakan akan menjunam di setiap sektor utama tahun ini - dari bahan bakar fosil hingga kepada tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan.

Jelasnya, penurunan yang tidak terjangka itu adalah amat mengejutkan sama ada dari segi skala dan kepantasannya, dengan implikasi yang berpotensi tinggi untuk sekuriti tenaga dan peralihan tenaga bersih.

"Pada awal tahun ini, pelaburan tenaga global berada di dalam landasan untuk mencatatkan pertumbuhan sekitar dua peratus, yang adalah kenaikan perbelanjaan tahunan terbesar dalam enam tahun.

"Tetapi setelah krisis COVID-19 menyebabkan sejumlah besar ekonomi dunia terhenti dalam tempoh beberapa bulan, pelaburan global kini dijangka menjunam sebanyak 20 peratus atau hampir AS$400 bilion (RM1.74 trilion), jika dibandingkan dengan tahun lalu," katanya.

Pengarah Eksekutif IEA, Dr Fatih Birol, berkata kejatuhan bersejarah pelaburan tenaga global itu amat merisaukan yang disumbangkan oleh banyak sebab.

"Ia bermaksud kehilangan pekerjaan dan peluang ekonomi pada hari ini, serta kehilangan tenaga yang mungkin kita perlukan esok setelah ekonomi pulih.

"Perbelanjaan yang perlahan dalam teknologi tenaga bersih utama juga berisiko menjejaskan peralihan yang sangat diperlukan kepada sistem tenaga yang lebih berdaya tahan dan lestari," katanya.

Penilaian trend laporan itu setakat ini adalah berdasarkan data pelaburan dan pengumuman oleh kerajaan dan syarikat terkini yang tersedia setakat pertengahan Mei, penjejakan kemajuan setiap projek, wawancara dengan tokoh dan pelabur industri terkemuka dan analisis terkini dari seluruh IEA.

Menurut laporan itu, syarikat dengan kunci kira-kira yang lemah dan prospek permintaan yang lebih tidak menentu akan mengurangkan pelaburan sementara projek juga terjejas susulan perintah berkurung dan rantaian bekalan yang terganggu.

"Dalam jangka masa panjang, legasi hutang yang lebih tinggi selepas krisis akan menimbulkan risiko berterusan terhadap pelaburan. Ini mungkin sangat merugikan prospek di beberapa negara membangun, di mana pilihan pembiayaan dan jangkauan pelabur adalah lebih terhad," katanya.

Berita Harian X