Jumaat, 29 Mei 2020 | 5:17pm
Produktiviti pekerja untuk setiap pekerjaan merosot dalam tempoh yang mencabar ketika ini - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Produktiviti pekerja untuk setiap pekerjaan merosot dalam tempoh yang mencabar ketika ini - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Jumlah pekerjaan baharu diwujudkan lebih kecil

KUALA LUMPUR: Jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan pada suku pertama 2020 adalah lebih kecil berbanding tempoh sama tahun lalu.

Laporan Tinjauan Perangkaan Ekonomi Malaysia Jilid 1/2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini mendapati, sebanyak 19,000 pekerjaan baharu dicipta pada suku pertama 2020, merosot berbanding 24,000 pada tempoh sama 2019.

"Berdasarkan pemerhatian, pengwujudan pekerjaan baharu ini kebanyakannya adalah dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

"Mengikut kategori kemahiran pula, 48.3 peratus adalah pekerjaan mahir sementara 45.7 peratus lagi berada dalam kategori separuh mahir," katanya.

Dari segi produktiviti pekerja pada suku dikaji, nilai tambah kepada pekerjaan merekodkan penurunan 0.8 peratus iaitu RM22,578 untuk seorang berbanding RM24,263 seorang pada suku keempat 2019.

"Produktiviti pekerja untuk setiap pekerjaan merosot dalam tempoh yang mencabar ini walaupun kebanyakan industri mengekalkan pekerjaan di sebalik pertumbuhan sederhana dalam pengeluaran.

"Sementara itu, produktiviti pekerja Malaysia untuk suku pertama 2020, seperti yang diukur dengan nilai tambah setiap jam bekerja meningkat 2.1 peratus dengan nilai RM40 setiap jam disebabkan oleh penurunan jam kerja yang ketara terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak dipengaruhi oleh automasi dalam industri," katanya.

Tambahnya, fasa pertama PKP yang membabitkan dua daripada 12 minggu dalam suku pertama 2020 menyebabkan kejatuhan dalam jumlah jam bekerja sebanyak 1.4 peatus kepada 8.6 bilion jam.

"Sebaliknya, nilai tambah yang menunjukkan penghasilan barang dan perkhidmatan domestik tumbuh sedikit pada 0.7 peratus pada suku dikaji berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

"Manakala, pekerjaan yang terdiri daripada majikan, pekerja, pekerja yang bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 1.6 peratus dengan anggaran 15.2 juta orang pada suku pertama 2020," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X