Rabu, 10 Jun 2020 | 4:31pm
Kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membolehkan ekonomi dibuka semula secara berperingkat. NSTP/Zunnur Al Shafiq
Kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membolehkan ekonomi dibuka semula secara berperingkat. NSTP/Zunnur Al Shafiq

PENJANA tempatkan ekonomi negara pada kedudukan lebih kukuh

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) jangka pendek bernilai RM35 bilion membolehkan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dengan berhati-hati, selaras dan teratur, menurut sebuah kumpulan pemikir.

Dalam kenyataan hari ini, EMIR Research berkata pelan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, turut mengakui wujud keperluan untuk menggalakkan perubahan yang perlu berikutan Malaysia menuju ke arah era selepas COVID-19.

Katanya, PENJANA tepat pada masanya, memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan pengangguran dan penutupan perniagaan, memudahkan aliran tunai untuk perniagaan serta memacu penggunaan dan pendigitalan.

"PENJANA melambangkan langkah konkrit seterusnya yang diambil oleh pentadbiran Muhyiddin sebagai sebahagian daripada keseluruhan strategi dalam fasa pemulihan ekonomi," katanya.

EMIR Research berkata, pakej PENJANA memberi tumpuan kepada masalah pengangguran yang meningkat dengan lanjutan tiga bulan dan perluasan liputan Program Subsidi Upah (WSP).

"WSP juga boleh digunakan untuk menampung cuti tanpa gaji dalam perniagaan pelancongan yang terjejas teruk berikutan krisis itu.

"Melihat ke hadapan, mungkin WSP boleh dilanjutkan lagi sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan jangka sederhana, seiring dengan pembukaan semula ekonomi yang secara berperingkat," katanya.

Katanya, pelan pemulihan ekonomi jangka pendek itu turut menunjukkan langkah proaktif kerajaan kepada mengurangkan tahap pengangguran dengan menaik taraf Portal Khidmat Pekerjaan Nasional, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan untuk rakyat yang kehilangan pekerjaan dan yang sedang mencari kerja, serta program peningkatan kemahiran pekerja.

Kerajaan turut memberi perhatian yang serius dengan menyokong pertumbuhan ekonomi gig, yang menyumbang 25.3 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, dengan menyediakan peruntukan geran padanan dan peruntukan kepada Malaysia Digital Economy Corp untuk program Global Online Workforce, katanya.

Selain itu, EMIR Research berkata, skim pembiayaan mikro PENJANA akan memacu untuk mewujudkan lebih banyak perusahaan mikro di negara ini, penting untuk menggalakkan keusahawanan, sekali gus meningkatkan pekerjaan di negara ini.

"Pembiayaan Mudah Bumiputera juga selaras dengan realiti bahawa perusahaan kecil dan sederhana adalah majikan utama di negara ini," katanya.

Katanya, langkah menyediakan kredit e-dompet bernilai RM50 dan pelancaran kempen 'Shop Malaysia Online' dijangka menggalakkan penggunaan dalam talian selain memberi kemudahan kepada pengguna.

"Mungkin bantuan tunai langsung daripada kerajaan, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh dilanjutkan selepas Jun untuk terus menyokong isi rumah pendapatan sederhana hingga rendah dalam memacu penggunaan," menurut kumpulan pemikir itu.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X