Selasa, 16 Jun 2020 | 11:36am
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah.

COVID-19: Rakyat Malaysia derma lebih RM1 juta menerusi Boost

KUALA LUMPUR: 'Tabung COVID-19 by Boost' telah menerima derma sebanyak RM694,843.13 bagi membantu petugas barisan hadapan dalam gerak gempur menentang pandemik COVID-19 dan meringankan beban golongan yang memerlukan melalui inisiatif #BoostGotYou e-dompet Boost.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah, berkata derma itu akan diberikan kepada Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

'Tabung COVID-19 by Boost' adalah yang pertama daripada lima inisiatif di bawah kempen #BoostGotYou yang bertujuan menyediakan suasana selamat dan selesa untuk pengguna ketika berdiam di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dana yang dikumpul oleh 'Tabung COVID-19 by Boost' membantu KKM dan NADMA membeli ubat, kelengkapan dan keperluan kesihatan dalam memerangi virus berbahaya ini. Kami teruja diberi peluang menggunakan platform untuk berkhidmat kepada masyarakat di saat genting ini," kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, Mohd Khairil berkata sepanjang bulan Ramadan, Boost turut berjaya mengumpul sebanyak RM479,000 untuk badan-badan amal melalui kempen 30 Hari 30 Amalan.

Kempen Ramadan itu adalah seiring dengan inisiatif #DoGoodWithBoost dan sumbangan pada tahun ini meningkat sebanyak empat kali ganda berbanding jumlah yang dikumpul pada Ramadan tahun lalu. - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X