Selasa, 30 Jun 2020 | 11:15am

Pelaburan palsu guna nama Sime Darby Bhd

PETALING JAYA: Sime Darby Bhd (SDB) memaklumkan terdapat percubaan beberapa individu tidak dikenali yang mendakwa wakil syarikat dan meminta dana daripada orang awam melalui mesej palsu yang menawarkan cadangan perniagaan dan pelaburan.

Katanya, mereka itu menggunakan nama dan logo Sime Darby tanpa kebenaran.

"Mesej palsu itu telah disebarkan melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp atau halaman kumpulan palsu di laman Facebook.

"SDB ingin menegaskan bahawa cadangan perniagaan dan tawaran pelaburan itu telah disebarkan dengan niat jahat untuk menipu orang ramai. Satu laporan polis telah pun dibuat," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat katanya, tidak menjalankan apa-apa cadangan atau rancangan pelaburan dan tidak pernah melantik mana-mana pihak, entiti atau syarikat bagi menawarkan cadangan pelaburan itu kepada orang awam.

SDB juga katanya, tidak mempunyai sebarang profil atau halaman Facebook rasmi pada masa ini.

"Orang ramai disarankan untuk berwaspada terhadap individu, entiti dan syarikat yang menawarkan cadangan pelaburan seperti ini," katanya.

Orang awam juga digalakkan untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta pengesahan dengan menghubungi SDB melalui email di [email protected] atau [email protected] atau di talian 03-7623 2000.

Berita Harian X