Selasa, 30 Jun 2020 | 6:12pm

Kualiti aset bank kekal mantap - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Kualiti aset bank-bank di Malaysia kekal kukuh pada Mei dengan keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing berada pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM), dalam laporan Sorotan Bulanan - Mei 2020 yang dikeluarkan hari ini berkata bank-bank terus memperuntukkan peruntukan besar bagi menampan potensi kerugian berdasarkan penilaian hadapan.

Bank-bank tempatan mengekalkan mudah tunai mencukupi bagi menyokong perantaraan dengan nisbah liputan mudah tunai (LCR) sistem perbankan berada pada 140.2 peratus pada Mei 2020 (April 2020: 143.9 peratus).

"Pertumbuhan deposit kekal stabil pada 2.8 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh deposit daripada individu.

"Nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti masing-masing berada pada 82.3 peratus dan 71.7 peratus," kata bank pusat.

BNM berkata pertumbuhan pinjaman kekal kepada 3.9 peratus pada Mei (April: 4.0 peratus), disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam pinjaman isi rumah (Mei: 3.2 peratus, April: 3.3 peratus).

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan mencatatkan prestasi sederhana (Mei: 4.5 peratus, April: 4.7 peratus) apabila pembayaran menguncup lebih pantas berbanding pembayaran semula.

Paras pembayaran dan pembayaran semula kekal rendah dalam kebanyakan sektor perniagaan dan semua pinjaman isi rumah dalam keadaan fasa berbeza Perintah Kawalan Pergerakan dan moratorium bagi pembayaran semula pinjaman semasa bulan berkenaan.

Pertumbuhan bon korporat turun kepada 1.9 peratus (Mac: 5.8 peratus), disebabkan terutamanya kesan asas tinggi daripada terbitan besar sekali pada Mei 2019.

Pasaran kewangan domestik mencatatkan prestasi bercampur-campur pada Mei apabila faktor luaran terus menjejaskan sentimen pelabur.

Aliran keluar portfolio bukan pemastautin berjumlah AS$0.3 bilion, terutamanya daripada pasaran ekuiti, dan membawa kepada penurunan kecil ringgit sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS.

Bank pusat juga berkata inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada -2.9 peratus pada Mei 2020 apabila kenaikan harga bahan api semasa bulan itu diimbangi sebahagiannya oleh inflasi sewaan rendah. - Bernama

Berita Harian X