Rabu, 1 Julai 2020 | 8:26pm
COVID-19 menjadi punca utama penyusutan ringgit
COVID-19 menjadi punca utama penyusutan ringgit

Ringgit cecah purata RM4.25 separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras purata 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2020 iaitu susut 3.2 peratus daripada purata 4.12 bagi tempoh sama pada 2019.

Punca utama penyusutan itu adalah COVID-19 yang turut menjejaskan rantaian bekalan global serta usaha bagi menanganinya.

Kes COVID-19 di peringkat global kini berjumlah 10.59 juta termasuk 514,082 kematian.

Ringgit memulakan 2020 di paras 4.0880/0930 dan setakat tahun ini, paras tertingginya adalah 4.052 yang dicatat pada 17 Januari manakala paras terendah 4.44 pada 23 Mac lalu.

Mengulas prestasi ringgit, ahli ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Mazlina Abdul Rahman berkata, penurunan kadar faedah akibat pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga memberi kesan terhadap penyusutan mata wang tempatan itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak menurunkan OPR sebanyak tiga kali pada 2020 sehingga ke paras 2.0 peratus yang merupakan kadar paling rendah dalam tempoh sedekad.

"Selain itu, harga minyak juga susut secara ketara berikutan pertikaian antara Arab Saudi, Rusia dan AS yang menyebabkan ringgit melepasi paras 4.40 dan terus diasak tekanan bagi beberapa minggu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis yang juga Ketua Strategis Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit dipacu sentimen positif pada awal 2020.

"Ini susulan pemeteraian perjanjian perdagangan fasa pertama AS-China yang sememangnya memberangsangkan untuk mata wang Asia.

"Malangnya, pasaran sebaliknya dikejutkan dengan bencana dalam bentuk COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank berkata, ringgit mengukuh pada Jun walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia kepada 45.6 pada Mei berbanding 31.3 pada April.

Pada Jun, PMI meningkat kepada 51.0 iaitu tertinggi sejak September 2018.

"Bagaimanapun, peningkatan itu hanya sementara apabila pasaran kewangan global mengalihkan minat terhadap risiko kepada aset selamat, khususnya dolar AS," kata Ketua Penyelidik Kenanga, Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie.

Beliau menjangkakan ringgit meningkat sedikit pada Julai berikutan pemulihan harga minyak selain turut dipacu kejayaan Malaysia membendung serta mengurus pandemik berkenaan.

"Malah, perdagangan tempatan akan mendapat manfaat daripada pemulihan perdagangan global serta permintaan terhadap komoditi apabila ekonomi dunia dibuka secara beransur-ansur.

"Namun, terdapat beberapa ketidaktentuan membabitkan ketegangan semula perdagangan AS-China serta kebimbangan mengenai berlakunya gelombang kedua jangkitan COVID-19 di serata dunia," katanya dalam nota penyelidikan.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X