Isnin, 6 Julai 2020 | 6:03pm
Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)
Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)

MTDC sedia pembiayaan khusus di bawah NTIS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menawarkan pembiayaan khusus di bawah inisiatif National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), yang diumumkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Pembiayaan akan ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula niaga, universiti awam dan swasta, institusi penyelidikan tempatan serta agensi kerajaan dan kementerian.

Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, berkata menerusi inisiatif NTIS yang menjadi sebahagian daripada PENJANA, perbadanan itu akan menguruskan pembiayaan produk dan teknologi dari peringkat idea hingga pengkomersialan.

Beliau berkata, selain produk, perbadanan itu juga akan mengendalikan pembiayaan bagi perkhidmatan, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi tempatan, sekali gus membolehkan penerima mengembangkan lagi perniagaan.

Katanya, aktiviti yang dibiayai di bawah program itu membabitkan kos pelesenan teknologi dan perundingan; kos pendaftaran produk/pematuhan pengawalseliaan; kos pengeluaran produk/teknologi Sandbox; kos penyumberan luar; kos pengesahan pasaran/teknologi; dan perbelanjaan pengoperasian.

"NTIS akan memberikan kemudahan untuk menguji produk, teknologi, perkhidmatan, R&D, model perniagaan dan mekanisme penyampaian.

"Kelonggaran undang-undang dan peraturan sedia ada untuk tujuan teknologi juga akan diberikan untuk menguji keberkesanan serta pengesahan fungsi produk untuk penyelesaian masalah sedia ada yang telah dikenal pasti," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Norhalim berkata, NTIS juga akan meningkatkan pelaburan serta pembiayaan daripada pihak swasta dan korporat ke atas teknologi tempatan yang dibangunkan.

Katanya, langkah itu seterusnya merancakkan lagi penerapan teknologi di kalangan PKS dan industri di Malaysia.

"Kelayakan bagi setiap skim pembiayaan tertakluk kepada syarat dan kriteria tambahan yang telah ditetapkan.

"Pengumuman untuk cara-cara memohon akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan penubuhan NTIS yang akan menerajui ciptaan teknologi baharu.

Penubuhan inisiatif dalam matlamat merangsang ekonomi itu juga akan melonggarkan peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu seperti penghantaran melalui dron dan kenderaan pandu sendiri.

Ia sekali gus menggalakkan pengembangan inovasi dan kreativiti yang dapat memangkin pendigitalan penawaran perkhidmatan.

Berita Harian X