Isnin, 6 Julai 2020 | 6:35pm
Pasaran gelap rokok menyebabkan kerugian cukai eksais yang mencecah RM5.3 bilion setiap tahun - Foto hiasan
Pasaran gelap rokok menyebabkan kerugian cukai eksais yang mencecah RM5.3 bilion setiap tahun - Foto hiasan

BAT Malaysia tekad hentikan pasaran gelap rokok

KUALA LUMPUR: British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) melancarkan kempen 'Stop the Black Market' atau 'Hentikan Pasaran Gelap' bagi menonjolkan kesan negatif pasaran gelap rokok kepada negara dan cara untuk membanteras jenayah itu.

BAT Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pasaran gelap rokok tidak hanya mengakibatkan implikasi negatif lain, malah turut menyebabkan kerugian cukai eksais yang mencecah RM5.3 bilion setiap tahun.

"Kira-kira 62 peratus daripada seluruh pasaran tembakau di Malaysia hari ini dikuasai oleh sindiket penyeludupan rokok dan negara kita berada di tangga teratas di dunia bagi rokok seludup," katanya.

Menurut tinjauan pendapat yang dijalankan baru-baru ini oleh syarikat penyelidikan pasaran terkemuka, rakyat Malaysia percaya bahawa tabiat merokok dalam kalangan belia bawah umur adalah disebabkan oleh rokok seludup murah yang mudah didapati.

Tambahan lagi, pasaran gelap rokok membentuk sebahagian daripada ekonomi gelap bernilai RM300 bilion yang terus menjejaskan pertumbuhan negara.

"Sebagai usaha untuk memperlihatkan sejauh mana isu ini menjejaskan kehidupan masyarakat umum dan juga menggugat kesejahteraan sosioekonomi negara, rakyat Malaysia kini boleh menyuarakan pandangan mereka menerusi satu tinjau selidik seluruh negara yang dijalankan dalam talian di www.stoptheblackmarket.com.my.

"Mereka juga boleh berkongsi pendapat mereka di laman Facebook, di https://www.facebook.com/stoptheblackmarket.

"BAT Malaysia berharap kempen ini akan membuka mata masyarakat kita terhadap kesan buruk pasaran gelap rokok. Dalam pada masa sama, hasil dari tinjau selidik boleh dibincangkan di peringkat kebangsaan untuk mencari jalan dan cadangan untuk menghentikan pasaran gelap rokok," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed, berkata usaha syarikat itu melaksanakan inisiatif terbabit menyusuli komitmennya untuk menangani masalah serius yang diutarakan di mesyuarat agung tahunan syarikat baru-baru ini.

"Kesan negatif pasaran gelap rokok begitu meluas sehinggakan menjejaskan perniagaan sah dan kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

"Kami menghargai dan memuji usaha gigih semua agensi penguatkuasaan undang-undang sejak kebelakangan ini dan kami berharap usaha ini akan terus memberi tekanan kepada sindiket yang beroperasi di dalam pasaran gelap rokok ini. Namun, tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mampu menyelesaikan ini," katanya.

Reed berkata, perhatian lebih serius harus diberikan terhadap isu ini dan rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat.

Justeru, katanya, BAT mengambil pendekatan proaktif untuk tampil bersama membendung isu itu sebelum ia bertambah parah.

"Rakyat Malaysia boleh mengunjungi laman web untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang masalah ini dan mengambil bahagian dalam tinjau selidik supaya mereka boleh memberikan pendirian mereka tentang isu ini serta berkongsi apa yang perlu dilakukan untuk membantu memulihkan ekonomi negara ini," katanya.

Berita Harian X