X
Selasa, 7 Julai 2020 | 3:02pm
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemindahan Teknologi anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemindahan Teknologi anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) - Foto BERNAMA

Geran pekebun kecil sawit dijangka diperkenalkan semula

BANGI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bercadang memperkenalkan semula geran kepada pekebun kecil tanaman kelapa sawit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Timbalan Menteri MPIC II, Willie Mongin, berkata geran bantuan penanaman komoditi untuk pekebun kecil dengan keluasan tanaman di bawah 2.5 hektar itu dapat memastikan pertumbuhan industri sawit negara kekal mapan.

Bagaimanapun, katanya bagi pekebun kecil yang memiliki keluasan tanaman melebihi 2.5 hektar, boleh memohon pinjaman yang sudah ditawarkan kerajaan.

"Sebelum ini, geran sedemikian sudah disalurkan kepada pekebun kecil tetapi ditukar kepada bentuk pinjaman untuk semua pekebun kecil.

"Jadi, melihat kepada keperluan, MPIC membawa usul kepada kerajaan untuk mengembalikan geran berkenaan dalam RMKe-12," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemindahan Teknologi anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangi, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha MPIC, Ravi Muthayah; dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ketika ini, terdapat hampir 500,000 pekebun kecil tanaman kelapa sawit di Malaysia.

Mengulas lanjut, Willie berkata, MPIC turut bercadang memacu sektor hiliran sawit membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bagi meningkatkan nilai tambah pendapatan negara.

Ini kerana, katanya, inovasi banyak dilaksanakan di luar negara sekali gus menyaksikan Malaysia tidak mendapat apa-apa manfaat.

"MPIC kini sedang merangka dasar dan strategi baharu di bawah RMKe-12 yang akan bermula pada 2021 sehingga 2025. Ini semua adalah bagi memastikan industri sawit negara untuk terus kekal relevan dan berdaya saing dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Mengenai persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), beliau menjelaskan, ketika ini sekitar 84.4 peratus pekebun kelapa sawit di Malaysia sudah memiliki persijilan berkenaan.

Katanya, kementerian menyasarkan peningkatan angka sehingga ke 100 peratus dalam pertengahan 2023.

"Kerajaan akan gandakan usaha untuk memastikan semua pekebun Malaysia memiliki MSPO kerana ia akan meningkatkan lagi keupayaan sawit kita," katanya.

Berita Harian X