Jumaat, 31 Julai 2020 | 1:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew. - Foto NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew. - Foto NSTP

Keberkesanan lanjutan moratorium bergantung proses bank

KUALA LUMPUR: Bank perlu pantas dan tangkas memproses permohonan bagi lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar memandangkan prosesnya dijangka lebih rumit kerana ia memerlukan penelitian terhadap bukti yang dikemukakan pemohon, demikian kata pemerhati industri.

Tempoh dan ketangkasan bank memproses permohonan itu penting bagi memastikan bantuan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan peminjam yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew, berkata lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar sememangnya memberikan sedikit sinar terutama kepada peminjam yang masih berdepan kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman susulan berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September ini.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang perakaunan berkata, langkah bersasar itu akan memberi kelegaan di tengah-tengah persekitaran mencabar dalam berdepan impak negatif penularan COVID-19.

Namun, Liew melahirkan sedikit kebimbangan mengenai kemampuan dan ketangkasan bank untuk memproses permohonan secara pantas dengan mengambil kira jumlah pemohon dan penelitian terhadap bukti yang dikemukakan oleh pemohon.

Katanya, peminjam yang layak perlu membuktikan pengurangan peratusan dalam pendapatan mereka dan sama ada mereka sudah mempunyai pekerjaan baharu atau sebaliknya.

"Keadaan ini sama seperti proses permohonan kredit baharu, yang mana ia dilaksanakan secara manual oleh bank dan mereka kemungkinan berdepan kesukaran untuk menguruskan dengan jumlah permohonan," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu.

Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lanjutan moratorium tiga bulan diberikan kepada individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan, dan selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pihaknya sudah berhubung dengan pihak perbankan agar mereka menyediakan proses permohonan dan dokumentasi yang dipermudahkan kepada peminjam.

Justeru, katanya, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perniagaan boleh memohon terus kepada bank masing-masing mulai 7 Ogos ini bagi mendapatkan fleksibiliti yang diumumkan itu.

Berita Harian X