Jumaat, 31 Julai 2020 | 3:36pm
Touch ‘n Go eWallet, GrabPay dan Boost diberikan mandat mengendalikan penebusan ePENJANA. - Foto NSTP
Touch ‘n Go eWallet, GrabPay dan Boost diberikan mandat mengendalikan penebusan ePENJANA. - Foto NSTP

Pengendali e-dompet tawar ganjaran menarik tebus ePENJANA

KUALA LUMPUR: Tiga penyedia e-dompet tempatan menawarkan ganjaran tambahan nilai menarik kepada rakyat Malaysia yang menebus insentif kredit RM50 ePENJANA menerusi platform masing-masing.

Ia adalah inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bermula 31 Julai 2020 hingga 30 September 2020 bagi membolehkan warganegara berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 menebus insentif berbentuk kredit e-dompet itu.

Pengguna yang menebus kredit melalui Touch 'n Go eWallet berpeluang menikmati ganjaran tambahan #LebihBanyakEkstra dengan nilai lebih RM300, yang ditawarkan oleh rakan niaga terdiri daripada pelbagai jenama besar, industri kecil & sederhana dan perusahaan mikro dalam industri makanan dan minuman, sektor runcit, bahan makanan, fesyen, hiburan, teknologi maklumat dan sebagainya.

Malah, penyedia e-dompet itu juga membenarkan rakyat Malaysia menggunakan penebusan kredit RM50 ePENJANA untuk membeli tag TNG RFID daripada aplikasinya dan bayar untuk tol.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong, berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan sekali lagi bagi melaksanakan ePENJANA dan berikhtiar mewujudkan ekosistem yang berfungsi secara baik kepada rakyat.

Beliau berkata, ia selaras dengan pendekatan kerajaan demi meningkatkan kembali ekonomi Malaysia melalui inisiatif pendigitalan, sekali gus memastikan manfaat melalui keterangkuman kewangan dan transaksi yang lebih selamat.

Katanya, pelan yang berteraskan transaksi selamat tanpa sentuh itu akan mendorong penggunaan yang berterusan serta merealisasikan visi masyarakat tanpa tunai di negara ini.

"Muat turun aplikasi MySejahtera, kemas kini akaun Touch 'n Go eWallet, selesaikan proses dan tuntutan eKYC ePENJANA RM50 anda dengan kami hari ini.

"Kami juga berharap dapat membawa lebih banyak peluang keterangkuman kewangan untuk rakyat Malaysia dalam beberapa bulan akan datang, jadi nantikannya juga," katanya dalam satu kenyataan.

Touch 'n Go eWallet juga menggesa pengguna baharu dan sedia adanya untuk melengkapkan proses pengesahan akaun mereka sekiranya belum dibuat bagi membolehkan mereka menebus insentif RM50 ePENJANA.

Sementara itu, Boost melancarkan kempen #KasiTambah sempena inisiatif ePENJANA berkenaan.

Kempen terbabit menawarkan pelbagai ganjaran khas yang menarik termasuk peluang membawa pulang sebuah Perodua Myvi atau sebuah motosikal Yamaha bagi melengkapi kredit RM50 yang diberikan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah, berkata pihaknya berbesar hati dipilih sebagai e-dompet rasmi bagi inisiatif ePENJANA.

Beliau berkata, pengendali e-dompet itu juga bersedia memainkan peranan penting dalam usaha bersama membina semula ekonomi serta perniagaan tempatan di samping memulihkan kehidupan rakyat dalam norma baharu sekarang.

Grab pula akan menambahkan baucar bernilai RM50 yang boleh digunakan di mana-mana perkhidmatan atau di restoran serta kedai kegemaran rakyat Malaysia di seluruh negara.

Selain itu, pengguna juga boleh memperoleh GrabRewards yang boleh digunakan untuk sebarang transaksi dalam talian atau luar talian.

Pengarah Urusan GrabPay, Ooi Huey Tyng, berkata sejak kawalan pergerakan, Grab telah menyokong pembayaran secara selamat, mudah, dan tanpa sentuhan supaya rakyat Malaysia dapat mengakses keperluan harian mereka seperti makanan, penghantaran dan barangan runcit dari rumah mereka dalam keadaan yang selesa.

Berita Harian X