Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:12pm
Isu pekebun kecil tidak mendapat faedah daripada kenaikan harga MSM di pasaran adalah kes terpencil - Foto hiasan
Isu pekebun kecil tidak mendapat faedah daripada kenaikan harga MSM di pasaran adalah kes terpencil - Foto hiasan

Pekebun kecil dapat manfaat kenaikan harga MSM

KUALA LUMPUR: Pekebun kecil turut menerima manfaat daripada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) yang ketika ini sudah melepasi paras RM2,700 satu tan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, berkata isu pekebun kecil tidak mendapat faedah daripada kenaikan harga MSM di pasaran adalah kes terpencil dan hanya berlaku di kawasan pedalaman yang terletak jauh dari kilang pemprosesan komoditi itu.

Katanya, persatuan itu merancang untuk mengadakan pertemuan dengan semua ahli di seluruh Semenanjung bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu semasa berkaitan pekebun kecil, yang mana setakat ini ia sudah berjumpa dengan ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

"Dalam perjumpaan ini, mereka ada membangkitkan mengenai isu ini. Kita dapati, mereka yang tidak mendapat manfaat kenaikan harga MSM ini tinggal di kawasan pedalaman dan mungkin terletak jauh dengan kilang pemprosesan.

"Ia adalah kes terpencil dan kebanyakan pekebun kecil memang menikmati kenaikan harga MSM ketika ini.

"Namun, jika ada yang tidak berpuas hati, mereka boleh membuat aduan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membolehkan mereka menyiasat dan mengambil tindakan kepada peraih atau kilang terbabit," katanya kepada BH.

Harga MSM mula menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan permintaan dan pengeluaran yang rendah.

Baru-baru ini, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berkata, pengeluaran dua pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia dijangka berkurangan tahun ini kerana cuaca kering tahun lalu di samping penggunaan baja yang rendah dan penawaran tenaga kerja yang berkurangan.

Ia berkata, fenomena La Nina pada separuh kedua tahun ini juga akan menjejaskan prospek peningkatan pengeluaran.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab, berkata adalah tidak mungkin pekebun kecil tidak menerima manfaat kenaikan MSM di pasaran kerana mereka kebiasaannya sudah mengetahui harga semasa pasaran komoditi terbabit.

"Kebiasaannya, harga beli buah kelapa sawit dipaparkan di papan tanda. Jika berbeza sekalipun, harganya mungkin ke belakang satu hari sahaja dan pekebun kecil seharusnya boleh mengetahui harga pasaran.

"Peraih juga perlu memaparkan harga belian mereka di papan tanda sebelum dibeli daripada pekebun kecil. Justeru, mendidik pekebun kecil supaya melihat dan menyemak harga pasaran terlebih dulu yang kini boleh didapati di Internet.

"Kadangkala, harga rendah bukannya daripada kilang sebaliknya peraih. Berdasarkan peraturan, peraih juga perlu mematuhi harga semasa pasaran, justeru disebabkan itulah tiada sebab untuk pekebun kecil mendapat harga lebih rendah berbanding pasaran semasa," katanya.

Berita Harian X