Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:25pm
Nano Malaysia Bhd
Nano Malaysia Bhd

NTIS buka peluang komersial inovasi baharu

KUALA LUMPUR: Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan membolehkan lebih banyak inovasi baharu dapat dikomersialkan, sekali gus mengukuhkan ekosistem teknologi tinggi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Nano Malaysia Bhd (Nano Malaysia), Dr Rezal Khairi Ahmad, berkata pembabitan semua pihak berkepentingan membolehkan sesuatu inovasi teknologi dikomersialkan secara pantas dan menyeluruh.

Sebagai contoh, beliau berkata teknologi dihasilkan oleh syarikat pemula niaga berupaya menjadi satu teknologi berdaya maju serta dikomersialkan sehingga ke peringkat global jika diletakkan di bawah NTIS serta dinaik taraf bersama teknologi nano.

"Nano Malaysia memainkan peranan penting dalam teknologi nano. Ramai yang tidak tahu dengan bantuan teknologi nano, ia dapat meningkatkan keupayaan sesebuah teknologi.

"Antaranya adalah penggunaan dron dalam sistem penghantaran barangan. Teknologi nano dapat membantu dari segi bagaimana meningkatkan kapasiti bateri atau penggunaan sumber tenaga lain seperti solar dalam dron.

"Ditambah dengan bantuan agensi lain, ciptaan dron itu dapat dipertingkatkan lagi. Selain memberikan satu teknologi baharu, ia juga membantu mempercepatkan proses pengkomersialan sesuatu produk teknologi," katanya kepada BH baru-baru ini.

Rezal Khairi berkata, Nano Malaysia yang juga agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa memberikan tumpuan kepada peningkatan dan nilai tambah melalui teknologi nano.

Ini katanya, bagi membolehkan Malaysia bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selain melengkapkan ekosistem sedia ada dalam berhadapan dengan normal baharu ketika ini.

Sehingga kini, beliau berkata Nano Malaysia berjaya mengkomersialkan 113 projek melalui usahasama awam dan swasta dengan lebih 40 ciptaan memperoleh harta intelek.

"Apabila semua pihak bekerjasama, nilai keusahawanan dapat dipertingkatkan. Usahawan Malaysia dapat menghasilkan sebuah ciptaan bertaraf global.

"Apabila wujud keusahawan, secara tidak langsung ia akan mewujudkan pekerjaan yang membuka peluang kepada tenaga kerja mahir tempatan dalam bidang teknologi baharu.

"Dari hanya penyelidikan dan pembangunan, ia dipertingkatkan menjadi sebuah keusahawan. Dari perniagaan kecil, dengan padanan pelaburan, ia boleh menjadi produk yang bernilai tinggi," katanya.

Rezal Khairi berkata, teknologi nano juga boleh digunakan dalam semua sektor termasuk elektrik dan elektronik serta pertanian.

Beliau berkata, pertanian yang menggunakan teknologi nano akan menjadikannya lebih cekap dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja selain menggunapakai teknologi baharu.

Berita Harian X