Ahad, 2 Ogos 2020 | 4:28pm

Digi tawar penyelesaian pemasaran digital kepada PKS, PKS mikro

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) melancarkan tiga pakej Go Digital baharu, yang menawarkan penyelesaian terbaik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Digi dalam satu kenyataan berkata, tiga pakej Go Digital membabitkan pemasaran digital dan e-dagang dengan nilai terhebat, alat produktiviti, serta pelan sambungan internet yang akan membantu MSME dalam mendigitalkan dan mengembangkan perniagaan sambil menikmati penjimatan hingga 70 peratus.

"Dihasilkan untuk memenuhi keperluan MSME yang berbeza, pakej ini menawarkan penyelesaian digital seperti altHR, Omni Hotline, Avana Facebook Commerce, pek asas Microsoft 365 Business, penghantaran SMS yang disasarkan dan pelan data mudah alih untuk sambungan internet.

"Ia dapat mempersiapkan MSME menghadapi norma baharu dalam bekerja dan menguruskan operasi perniagaan.

"Menarik lagi, dengan potongan harga tertinggi dalam pasaran iaitu hingga 70 peratus, pakej ini ditawarkan pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan usahawan MSME, mengambil kira akan situasi perniagaan kini yang menghadapi tekanan daripada segi kos untuk terus bertahan dan berkembang," katanya.

Digi berkata, pendekatan itu juga seiring dengan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.

"Oleh kerana MSME membentuk 98.5 peratus daripada pertubuhan perniagaan di Malaysia, di bawah PENJANA, kerajaan berhasrat untuk menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan MSME dengan pemberian Geran Digitalisasi PKS," katanya.

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh, berkata bahawa Digi bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyokong MSME dalam pemulihan dan pertumbuhan mereka.

"Kolaborasi ini menyaksikan Digi berperanan sebagai pusat sehenti bagi MSME, dengan membantu mereka dalam mendigitalkan operasi dan menguruskan proses permohonan geran.

"Sebagai rakan digital yang dipercayai, kami menyedari bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro memerlukan bantuan bagi memilih alat digital yang tepat dan terbaik dari segi keberkesanan kos untuk mengaktifkan semula dan meningkatkan perniagaan mereka dalam situasi semasa," katanya.

Beliau berkata, Digi menghasilkan pakej yang berfungsi sebagai pek semua-dalam-satu bagi penyelesaian digital yang relevan, supaya usahawan tidak perlu menghadapi kesulitan berurusan dengan beberapa penyedia perkhidmatan bagi alat digital yang berbeza.

"Langkah ini membantu menyenangkan perjalanan digitalisasi MSME, selain memberi mereka perkhidmatan yang menjimatkan dan mempunyai nilai tambah yang melayakkan mereka memperoleh geran digitalisasi," katanya.

Selain itu, Digi turut memperkenalkan penyelesaian digital dengan nilai terhebat untuk memaksimumkan produktiviti dan pertumbuhan perniagaan dikenali Pakej Digi Business Go Digital.

Turut ditawarkan dengan tiga pakej berbeza iaitu Pakej Keperluan, Pakej Produktiviti dan Pakej Pertumbuhan, ia mengandungi penyelesaian digital untuk kerja jarak jauh, pengurusan tenaga kerja, e-dagang serta pemasaran dan penjualan dalam talian, untuk membolehkan MSME memaksimumkan produktiviti dan pertumbuhan perniagaan mereka dengan kos yang rendah.

"Bukan itu sahaja, pengiktirafan Digi selaku Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) di bawah Geran Digitalisasi PKS oleh PENJANA, melayakkan MSME yang melanggan penyelesaian digital ini menikmati subsidi geran.

"Subsidi ini adalah tambahan kepada potongan harga yang ditawarkan oleh Digi sebagai sebahagian daripada promosi pakej, sekali gus memberi pelanggan menikmati jumlah penjimatan yang besar hingga 70 peratus dan memperoleh nilai maksimum untuk perniagaan mereka," katanya.

Berita Harian X