Isnin, 31 Julai 2017 | 12:06am

Hab Digital Malaysia sedia insentif menarik

KUALA LUMPUR: Hab Digital Malaysia, inisiatif terbaharu oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menjadi komponen penting kepada pertumbuhan ekosistem syarikat pemula atau 'startup' di negara ini.

Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan MDEC, Norhizam Kadir, berkata idea penubuhan Hab Digital Malaysia adalah disebabkan kerajaan menyedari bahawa usaha untuk mengembangkan syarikat pemula di Malaysia bukan sewajarnya tertumpu kepada meningkatkan bilangannya semata-mata.


Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan MDEC, Norhizam Kadir. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Justeru, beliau berkata adalah penting supaya kerajaan bekerjasama dan berintegrasi bersama peserta pasaran bagi mewujudkan ekosistem yang sesuai bagi membolehkan syarikat pemula mendapat pencetus diperlukan bagi menembusi pasaran global.

"Jika kita membawakan ekosistem yang betul, sudah pasti jumlah syarikat pemula yang berkualiti di Malaysia akan bertambah. Hab Digital Malaysia adalah inisiatif kerjasama sektor awam-swasta, kerana kami di MDEC sebagai agensi kerajaan tidak dapat melakukannya secara bersendirian.

"MDEC mungkin boleh menubuhkan sebuah hab digital, namun mengendalikannya bukanlah kepakaran kami. Justeru, kami memerlukan kerjasama sektor swasta dan meninjau bagaimana kami boleh menyediakan sokongan dan insentif selain memperkayakan ekosistem syarikat pemula," katanya dalam satu temubual bersama BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hab Digital Malaysia yang diumumkan penubuhannya April lalu menawarkan ruang bekerja bersama di bawah satu bumbung kepada syarikat pemula niaga.

Ia membuka peluang kepada syarikat berkenaan berkembang ke peringkat global menerusi integrasi dengan syarikat pemula niaga lain atau syarikat lebih berpengalaman.

Ruang kerja bersama itu menyediakan akses kepada sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan gentian optik, peluang pembiayaan dan mudah cara, ekosistem sedia tenaga kerja, fokus secara teknologi dan pengalaman gaya bekerja yang holistik serta selesa.

Walaupun ia menggalakkan penyertaan daripada semua syarikat pemula niaga, Hab Digital Malaysia tertumpu kepada empat kategori iaitu pembangunan syarikat pemula niaga, syarikat teknologi global, pembina dan pemecut bakat serta pelabur.

Buat masa ini, empat Hab Digital Malaysia sudah diluluskan oleh kerajaan iaitu WORQ, APW, The Co. dan Common Ground. Semua hab berkenaan terletak di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata insentif yang disediakan di bawah Hab Digital Malaysia mirip kepada insentif syarikat yang beroperasi di MSC Cybercity dan MSC Cybercentre.

"Walaupun ada syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di MSC Cybercity dan MSC Cybercentre, ruang kerja bersama tiada di kawasan berkenaan. Majoriti syarikat berskala besar yang beroperasi di sana mahukan ruang pejabat yang sebenarnya, yang ketika ini boleh didapati di Cyberjaya atau Bangsar South.

"Ekosistem (untuk syarikat pemula niaga) tidak ada di MSC Cybercity dan MSC Cybercentre, ekosistemnya ada Hab Digital Malaysia. Justeru, kami memperluaskannya dengan menyediakan insentif serupa bagi syarikat pemula niaga yang beroperasi di kawasan ditauliahkan sebagai Hab Digital Malaysia.

"Ia bermakna, populasi di Hab Digital Malaysia boleh memohon pakej insentif yang kami sediakan, antara lain dalam bentuk pelepasan cukai dan juga kebenaran penyertaan pekerja berpengetahuan dari luar negara," katanya.

Berita Harian X