Isnin, 7 Ogos 2017 | 4:18pm
DATUK Seri Mah Siew Keong (kiri) sambil diiringi oleh Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, Mr Ur Unnithan (kanan) dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Dr. Ahmad Kushairi Din (tengah) melawat pameran minyak sawit sempena 1st Palm Biodisel Conference di Holiday Inn Glenmarie.- Foto Shazreen Zamzuri

Giat yakinkan pemain industri guna B10

SHAH ALAM: Usaha masih digiatkan untuk meningkatkan keyakinan pemain industri termasuk pengeluar kenderaan terhadap penggunaan bahan api biodiesel campuran 10 peratus metil ester sawit (B10).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata ketika ini biarpun kajian yang dijalankan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terhadap penggunaan B10 menunjukkan hasil positif, masih banyak pengeluar kereta yang belum menunjukkan keyakinan terhadap bahan bakar itu.

Justeru, katanya, usaha untuk memperkenalkan dan melaksanakan penggunaan bahan bakar B10 dalam pasaran masih perlahan, namun isu yang ditimbulkan sedang ditangani.

"Kami sudah berhubung dengan pihak industri termasuk pengeluar kenderaan dan mengambil kira kebimbangan yang disuarakan terhadap perlaksaannya termasuk isu jaminan yang ditimbulkan oleh pengeluar kereta iaitu ia hanya untuk penggunaan sehingga B7.

"Sudah tentu industri pengangkutan bimbangkan kesan penggunaan B10 terhadap kenderaan. Atas sebab itulah MPOB dan pihak industri melakukan banyak kajian yang menunjukkan ia tidak menjejaskan keupayaan kenderaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas merasmikan Persidangan Biodiesel Sawit Pertama anjuran Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), U.R. Unnithan; Naib Pengerusi Asosiasi Produsen Biofuels Indonesia (APROBI), Paulus Tjakrawan dan Pengerusi Persatuan Pengeluar Biodiesel Thailand, Sanin Triyanond.

Selain isu jaminan, isu perbezaan harga biodiesel yang lebih tinggi juga antara kebimbangan pemain industri.

Siew Keong berkata, Indonesia sudah memperkenalkan B20 namun negara itu mengenakan cukai terhadap minyak sawit bagi membolehkan pemberian subsidi terhadap biodiesel.

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya sedang mensasarkan penggunaan biodiesel untuk kenderaan komersial dari B7 ke B10 manakala penggunaan bahan bakar itu bagi mesin dalam industri dari sifar ke B7.

Berita Harian X