Rabu, 16 Ogos 2017 | 6:38pm

80 projek strategik Blueprint 2.0 NCER untuk wilayah utara

GEORGETOWN: Program pembangunan pemantapan dan Blueprint 2.0 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis ini, akan memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya di empat negeri di wilayah utara, dapat merasai kesan pembangunan yang dirancang.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata sebanyak 80 projek yang terdiri daripada tujuh nod pertumbuhan, 28 projek merentasi sempadan dan 45 projek berimpak tinggi setempat, digariskan dan bakal memacu pertumbuhan ekonomi di wilayah utara yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis, untuk mencapai sasaran RM300 bilion pada 2025.

"NCER melaksanakan pelbagai program yang telah dirancang secara teratur untuk memastikan semua program berjalan lancar. Terdapat tiga gelombang dalam pembangunan yang terancang ini iaitu Pembangunan Prasarana Pemangkin, Pembangunan Kapasiti dan Pemantapan dan Blueprint 2.0.

"NCER kini berada pada gelombang ketiga iaitu gelombang pembangunan Pemantapan dan Blueprint 2.0, dan di sini kekuatan setiap negeri telah diambil kira dalam memenuhi perancangan di peringkat nasional. Di sinilah Blueprint 2.0 memainkan peranan penting dalam memastikan setiap program atau projek khusus dan tertumpu bagi setiap negeri, dijalankan secara berperingkat dan lancar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, berpaksikan tema 'Pertumbuhan Berteraskan Kesaksamaan Sosial', Blueprint 2.0 itu bertujuan menjana pembangunan ekonomi yang mampan serta inklusif di semua negeri di NCER melalui pembukaan industri baharu, pelaburan dalam pembangunan modal insan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang strategik.

Redza Rafiq berkata ,tujuh projek berimpak tinggi yang diklasifikasi sebagai nod pertumbuhan dirancang menerusi Blueprint 2.0 iaitu Kedah Rubber City dan Kedah Science and Technology Park di Kedah; Greater Kamunting Conurbation dan Manjung-Aman Jaya Maritime City di Perak; Chuping Valley Industrial Area dan Perlis Inland Port di Perlis; serta Batu Kawan Development di Pulau Pinang akan dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Di samping melaksanakan pembangunan nod-nod pertumbuhan, NCIA akan terus mengembangkan agenda ekonomi berdasarkan pendekatan global menerusi projek merentasi sempadan seperti projek yang memerlukan kerjasama dan memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada lebih satu negeri serta projek berimpak tinggi setempat yang memberi kesan besar dan menyumbang kepada pembangunan negeri dan Koridor Utara," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek itu turut memberi fokus untuk memajukan pertumbuhan dan mengurangkan ketidakseimbangan wilayah selain memastikan limpahan ekonomi dapat memberi manfaat kepada golongan B40 secara langsung.

Katanya, sektor pembuatan, pertanian dan agri-bio, serta perkhidmatan adalah antara sektor yang menjadi keutamaan dalam Blueprint 2.0 bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menguruskan pembangunan yang mampan.

Beliau berkata, sektor pembuatan terdiri daripada dua subsektor utama iaitu elektrik dan elektronik serta jentera dan peralatan manakala sektor pertanian dan agri-bio terdiri daripada pertanian dan industri agri-bioteknologi.

Sektor perkhidmatan pula terdiri daripada tiga subsektor utama iaitu pelancongan, perkhidmatan perniagaan global (GBS) serta logistik dan perhubungan. Kesemua 80 projek yang telah digariskan dalam Blueprint 2.0 adalah daripada ketiga-tiga sektor ini yang saling melengkapi dan menyediakan ekosistem sokongan yang penting dalam meningkatkan taraf kehidupan serta perkembangan ekonomi," katanya.

Redza Rafiq berkata, Blueprint 2.0 dihasilkan menggunakan pendekatan menyeluruh yang melibatkan 409 pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi dalam perkongsian idea dan pendapat bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima kesan pembangunan menerusi strategi yang telah dirancang.

Beliau berkata, Blueprint 2.0 bakal menyumbang RM300 bilion kepada KDNK menjelang 2025 dari RM225 bilion pada 2020, meningkatkan pendapatan isi rumah sebanyak RM8,265 pada 2020 ke RM12,964 pada 2025 dan kenaikan pendapatan isi rumah B40 pada RM3,852 pada 2020 kepada RM6,043 pada 2025.

Selain itu, Blueprint 2.0 turut meningkatkan jumlah pelaburan kumulatif pada RM109.5 bilion pada tahun 2020 ke RM146.5 bilion pada tahun 2025 selain peningkatan peluang pekerjaan pada 129,197 pada tahun 2020 ke 161,197 peluang pekerjaan pada tahun 2025, katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Blueprint 2.0, Redza Rafiq berkata 7,000 pengunjung dari seluruh Malaysia khusus di utara tanah air dijangka akan menghadiri program itu.

Beliau berkata satu sesi perbincangan panel berjudul 'Tomorrow's Cities: Challenges of Urban Growth' akan diadakan sebelum majlis pelancaran itu untuk membincangkan isu-isu dan cabaran dalam usaha ke arah mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

"Acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mempromosi serta membincangkan rangka tindakan yang bakal menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi di wilayah koridor utara," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X