Selasa, 29 Ogos 2017 | 3:28pm
DATUK Khairussaleh Ramli. -Foto Syarafiq Abd Samad

RHB catat untung bersih RM1b

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd, (RHB) merekodkan keuntungan bersih RM1 bilion dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2017, meningkat 9.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan pendapatan tahun ke tahun didorong penurunan nilai dalam aset lain dan dipacu pendapatan pembiayaan bersih yang tinggi, yang sebahagiannya diimbangi pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah, overhed dan penurunan nilai pinjaman lebih tinggi.

RHB berkata, perbankan runcit masih kekal sebagai penyumbang utama kepada kumpulan dengan keuntungan sebelum cukai merekodkan sebanyak RM545.5 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2017, iaitu 4.3 peratus lebih rendah berbanding suku sama tahun lalu.

"Ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih rendah apabila persaingan hasil semakin meningkat, yang sebahagiannya diimbangi oleh elaun lebih rendah untuk pinjaman dan pembiayaan serta perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

"Pinjaman runcit dan pembiayaan mencatatkan sejumlah RM71.7 bilion, masing-masing iaitu 4.9 peratus dan 2.3 peratus lebih tinggi tahun ke tahun bagi enam bulan pertama 2017.

"Peningkatan didorong pertumbuhan gadai janji dalam pinjaman bagi pembelian sekuriti dan pembiayaan auto," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kumpulannya mencapai keuntungan berterusan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

"Pertumbuhan pinjaman keseluruhan kami meningkat pada suku kedua, berbanding suku pertama.

"Ia juga menggabungkan keupayaan kami dalam menguruskan kos pembiayaan dan faedah marjin yang lebih baik," katanya.

Meskipun berdepan dengan cabaran kualiti aset, beliau berkata, pendapatan dan prestasi separuh pertama menunjukkan keupayaan kumpulan menggerakkan operasi dan menguruskan kos dengan berkesan.

"Kami optimis dengan prestasi separuh kedua tahun ini dan berada di landasan untuk lebih kukuh dalam bahagian perbankan pelaburan dan lembaran imbangan kami," katanya.

Pinjaman gadai janji meningkat pada kadar tahunan yang kukuh sebanyak 14.1 peratus, sekali gus meningkatkan bahagian pasaran domestik kepada 8.8 peratus berbanding 8.6 peratus pada Disember 2016.

Deposit runcit juga meningkat sebanyak 6.1 peratus dalam tempoh setahun lalu dan 0.9 peratus pada akhir 2016 kepada RM44.6 bilion sehingga Jun 2017.

Berita Harian X