Rabu, 27 September 2017 | 6:10am

Malaysia naik dua tangga penarafan GCR

KUALA LUMPUR: Malaysia memperbaiki prestasi dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017/2018 apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 25, tahun lalu.

Dalam laporan tahunan dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) itu, Malaysia mencatat skor keseluruhan yang lebih baik tahun ini, 5.17 daripada skor maksimum iaitu tujuh.

Penarafan terbaharu itu juga menunjukkan Malaysia mengatasi Ireland dan Qatar selain kekal mendahului negara besar lain seperti Korea Selatan, China, Iceland dan Estonia.

GCR yang diterbit berdasarkan Indeks Daya Saing Global (GCI) menggabungkan 114 petunjuk yang menggerakkan kedua-dua aspek daya saing ekonomi makro dan mikro.

Semua petunjuk berkenaan dibahagikan ke dalam 12 teras utama termasuk Institusi, Infrastruktur, Persekitaran Makroekonomi, Pendidikan Primer, Tinggi, Latihan dan Kesihatan, Kecekapan Pasaran Barangan, Pembangunan Pasaran Kewangan serta Saiz Pasaran.

Sebanyak 137 negara terbabit dalam laporan yang menggabungkan 70 peratus data tinjauan dan 30 peratus data statistik.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata walaupun penambahbaikan itu amat dialu-alukan tetapi ia diharap tidak akan membuatkan negara kehilangan fokus untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

"Persekitaran sedang mengalami perubahan pantas dan kita mesti menggandakan usaha dalam memupuk kerjasama awam dan swasta, di samping menjadi peneraju aliran masa depan termasuklah Industri 4.0," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Laporan sama turut menunjukkan Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi baharu muncul paling berdaya saing di Asia Timur dan rantau Pasifik, selain tersenarai antara 20 ekonomi yang sedang dalam fasa peralihan daripada didorong oleh kecekapan kepada didorong oleh inovasi.

GCR turut menyentuh mengenai petunjuk kelembapan produktiviti dan Mustapa berkata, Malaysia memegang prinsip bahawa produktiviti akan menjadi antara faktor pengubah bagi revolusi pembuatan semula ekonomi negara.

"Kita kini sedang melaksanakan "Pelan Induk Produktiviti Malaysia" yang bukan hanya akan membantu memudahkan perniagaan tetapi juga membantu sektor swasta dalam inisiatif teknologi dan inovasi mereka," katanya.

800 dibaca
Berita Harian X