Selasa, 3 Oktober 2017 | 12:49pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan melancarkan buku teks 'Sukuk - Principles and Practices', ketika Majlis Perasmian Kuala Lumpur Islamic Finance Forum 2017 (KLIFF) di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Turut hadir, Gebenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim (dua, kiri), dan Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh (tiga dari kiri). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pembangunan dana wakaf pemangkin sosio ekonomi

KUALA LUMPUR: Inisiatif dana wakaf yang dipelopori oleh enam institusi perbankan Islam tempatan mendapat perhatian lebih 900 ahli profesional dan pakar di dalam bidang kewangan Islam dari dalam dan luar negara.

Menurut Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), golongan pakar berkenaan meyakini inisiatif berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi di negara ini.

Penasihat Kumpulan Amanie Advisors, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, berkata usaha sama antara institusi perbankan Islam dan Majlis Agama Islam Negeri adalah satu langkah positif meningkatkan taraf sosio ekonomi di Malaysia, khususnya bagi umat Islam.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan mengenai hala tuju dan perkembangan kewangan Islam di Malaysia dalam satu sesi perbincangan 'Islamic Finance Smart Talk' pada acara tahunan Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) kali ke-14, di sini, hari ini.

Pada 6 September lalu, enam institusi perbankan Islam sudah memeterai Perjanjian Usaha Sama Strategik Dana Wakaf sebagai satu usaha kolektif bagi menyediakan platfom pengutipan dana wakaf daripada penyumbang melalui saluran sedia ada.

Kerjasama itu juga bakal membabitkan Majlis Agama Islam Negeri iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan projek wakaf di Malaysia.

Dana wakaf terkumpul akan diagihkan kepada projek yang menjurus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.

Kerjasama strategik berkenaan di antara Affin Islamic Bank Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd; Bank Muamalat Malaysia Bhd; Maybank Islamic Bhd dan RHB Islamic Bank Bhd.

Ia adalah salah satu inisiatif bagi industri perbankan Islam dalam menyediakan pengantaraan berasaskan nilai yang memberi impak positif kepada ekonomi dan komuniti.

KLIFF kali ke 14 dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Di Raja Inisiatif Kewangan Islam di Malaysia.

Berita Harian X