Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:04pm

Saham Asia melonjak ke paras tertinggi

TOKYO: Saham Asia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada Jumaat berikutan jangkaan pertumbuhan global yang pantas.

Indeks meluas MSCI saham Asia-Pasifik selain Jepun naik 0.23 peratus, memperoleh peningkatan sebanyak 3.7 peratus setakat ini.

Nikkei Jepun naik 1.0 peratus ke paras tertinggi 21 tahun.

Saham Eropah dilihat bercampur-campur dengan pemerhati menyasarkan kenaikan 0.1 peratus di DAX Jerman dan CAC Perancis manakala kejatuhan sebanyak 0.2 peratus di FTSE Britain.

Saham Wall Street merosot sedikit pada Khamis, ditekan oleh kejatuhan AT & T selepas syarikat telekom itu melaporkan kerugian pelanggan dalam perniagaan TV kabelnya.

Namun pengukur meluas MSCI bursa saham dunia yang merangkumi 47 pasaran juga mencatat rekod tinggi, meneruskan keuntungan setakat ini kepada 17 peratus.

Data perdagangan China menunjukkan kedua-dua pertumbuhan eksport dan import bergerak pantas pada September dengan import mengatasi jangkaan.

"Sukar untuk memikirkan bahawa ekonomi yang agak kaku akan berubah tiba-tiba," kata Nobuyuki Kashihara, ketua kumpulan penyelidikan di Asset Management One.

"Harga saham akan terus naik sejajar dengan pertumbuhan dalam pendapatan korporat di seluruh dunia." - Reuters

218 dibaca
Berita Harian X