Jumaat, 3 November 2017 | 7:40am
LCCT telah dijadikan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini. - Foto BERNAMA
LCCT telah dijadikan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini. - Foto BERNAMA
KERJA-KERJA akhir sedang dijalankan menjelang Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital pertama yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. - Foto BERNAMA
KERJA-KERJA akhir sedang dijalankan menjelang Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital pertama yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. - Foto BERNAMA

DFTZ bakal rancakkan kembali kawasan sekitar

SEPANG: Pembukaan Hab Logistik Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di KLIA Aeropolis, dijangka dapat merancakkan kembali kawasan sekitarnya selepas penutupan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) tiga tahun lalu.

Sejak LCCT ditutup pada 9 Mei 2014, kawasan itu menjadi terbiar apabila semua operasi lapangan terbang berpindah ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) yang menyebabkan banyak kedai, bank dan pejabat pos telah ditutup.

DFTZ yang bakal memulakan operasinya dengan pelancaran hab logistiknya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bakal menyaksikan penyertaan lebih 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

BERNAMA telah menemubual beberapa individu yang teruja untuk melihat bagaimana DFTZ akan berfungsi dan seterusnya membantu membangunkan KLIA Aeropolis, pusat kluster utama - kargo udara dan logistik, taman penerbangan dan aeroangkasa, acara persidangan, insentif dan mesyuarat dan liburan.

Pengurus Tune Hotel KLIA Aeropolis, Sashi Silver Raj, berkata dengan pelancaran hab logistik DFTZ berdekatan hotel itu, beliau menjangkakan peningkatan kadar penginapan.

"Kami sebenarnya baru sahaja membuka semula perniagaan kami pada Ogos tahun lalu selepas terpaksa menutupnya kerana kebanyakan operasi dipindahkan ke klia2 pada 2014 dan permintaan sangat rendah.

"Kini kami menerima banyak pelanggan yang terpaksa bekerja lebih masa, jadi, kami harap permintaan terhadap bilik kami akan meningkat. Kami sememangnya menunggu tempat ini melonjak kembali," kata Sashi.

Katanya, sejajar dengan penjenamaan semula kawasan KLIA Aeropolis, hotel itu menukarkan namanya kepada Tune Hotel KLIA Aeropolis untuk mengukuhkan lagi penjenamaan.

Pegawai Pos Malaysia Bhd di KLIA Aeropolis, Mohd Zain Lurat, berpendapat pembukaan hab logistik DFTZ akan mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang terutama sektor e-dagang.

"Saya rasa DFTZ akan menarik lebih banyak peniaga untuk membuka perniagaan mereka dan menampung permintaan daripada pekerja," katanya.

Bagi Kamariah Abu, yang menjual makanan dan minuman di medan selera berdekatan, DFTZ akan mewujudkan persaingan positif dalam kalangan penjual makanan.

DFTZ Malaysia, yang pertama di luar China, dilancarkan pada 22 Mac 2017 oleh Najib bersama dengan Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group.

Zon perdagangan itu, antara lainnya, menyediakan zon fizikal dan maya bagi memudahkan PKS untuk memanfaatkan pemusatan pertumbuhan ekonomi internet dan aktiviti e-dagang rentas sempadan.

Najib, dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan fasa pertama DFTZ akan menyaksikan penyertaan kira-kira 1,500 perusahaan kecil dan sederhana dan dijangka menarik pelaburan bernilai RM700 juta dan mewujudkan 2,500 pekerjaan.

Di bawah Bajet 2018, kerajaan juga mengumumkan peruntukan RM83.5 juta bagi pembinaan prasarana fasa pertama DFTZ di KLIA Aeropolis untuk mewujudkan pintu masuk serantau bagi e-dagang. - BERNAMA

Berita Harian X