Rabu, 8 November 2017 | 1:45pm
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh (tengah) bersama Naib Presiden PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB), Datuk Zainal Abidin Ahmad (kiri) dan Pengarah Urusan PERODUA Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin pada majlis pengumuman khas untuk media di Perodua Sentral, Petaling Jaya, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

MyVi generasi baharu boleh ditempah, harga bermula RM44,300

PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) hari ini mendedahkan harga jualan bagi model generasi baharu MyVi adalah bermula pada RM44,300 tidak termasuk insurans.

Malah, model yang dibangunkan sepenuhnya oleh pereka dan jurutera tempatan itu sudah boleh mula ditempah esok di semua bilik pameran PERODUA di seluruh negara.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata harga itu adalah untuk varian 1.3 Standard G (Manual), varian terendah daripada lima varian ditawarkan untuk model baharu MyVi itu.

Katanya, bagi varian tertinggi iaitu 1.5 Advance (Automatik), ia ditawarkan pada harga RM55,3000 tidak termasuk insurans.

Tiga lagi varian ialah 1.3 Standard G (Automatik) pada harga RM46,300; 1.3 Premium X (At) RM48,300 dan 1.5 High (At) pada harga RM51,800. Semua harga tidak termasuk insurans.

"Esok, kita akan membawa model baharu ini ke pameran Malaysia Autoshow 2017 di MAEPS, Serdang dan akan mendedahkan sedikit rupa bentuk MyVi ini untuk tatapan pelanggan.

"Pelancaran penuh model ini pula akan dibuat tidak lama lagi dan kita akan mengumumkan tarikh pelancaran itu nanti," katanya pada majlis pengumuman khas untuk media di Perodua Sentral, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Naib Presiden PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB), Datuk Zainal Abidin Ahmad, dan Pengarah Urusan PERODUASales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

PERODUA MyVi itu dipadankan dengan enjin baharu yang dipasang di kilang pemasangan enjin Daihatsu PERODUA di Sendayan, Negeri Sembilan.

Ia dilengkapi dengan fungsi kemasukan pintar dengan butang mula/henti enjin untuk semua varian.Lampu hadapan LED dengan fungsi Auto-off dan Follow-me-home serta lampu belakang dengan Light Guide untuk semua varian.

Sistem Henti Melahu (Eco-Idle) untuk varian MyVi 1.3 liter varian G dan MyVi 1.5 liter dan varian H dan Advance serta dilengkapi alat pembaca tol terbina dalam untuk MyVi 1.5 liter.

Seperti model sebelum ini, ruang dalaman MyVi generasi baharu itu cukup luas dan selesa, selain tempat duduk fleksibel (8+1) serta kerusi hadapan mempunyai poket sisi untuk semua varian.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) bagi MyVi 1.5 liter Advance iaitu varian tertinggi.

Ciri keselamatan baharu itu membabitkan bantuan brek kecemasan yang sebelum ini hanya boleh dilihat pada kenderaan premium.

Bagi model MyVi 1.3 liter, ia dilengkapi dengan empat beg udara, manakala enam beg udara bagi MyVi 1.5 liter.

Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) adalah standard untuk semua varian.

Generasi baharu Myvi ditawarkan enam pilihan warna dengan dua daripadanya adalah warna baharu iaitu Granite Grey (metalik) dan Peppermint Green (metalik).

2652 dibaca
Berita Harian X