Rabu, 8 November 2017 | 4:08pm
KEADAAN banjir di kawasan perumahan sekitar Seberang Perai. - Foto Sairien Nafis
KEADAAN banjir di kawasan perumahan sekitar Seberang Perai. - Foto Sairien Nafis

Bank tempatan sedia bantuan mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Beberapa institusi perbankan tempatan menawarkan bantuan kepada pelanggan masing-masing yang terjejas oleh banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

Maybank mengumumkan moratorium enam bulan bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pengecualian caj tertentu berdasarkan kes demi kes.

Bayaran yang ditangguhkan itu diperluaskan kepada perbankan perniagaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan perbankan pengguna.

CIMB Bank Bhd juga menawarkan penangguhan pembayaran balik enam bulan berkuat kuasa serta merta ke atas pelbagai produk pinjaman dan pembiayaan.

Antaranya termasuk semua pinjaman dan pembiayaan perbankan enterpris atau komersial, termasuklah pembiayaan rumah, pembiayaan premis perniagaan, pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan pembiayaan bersyarat (dengan kemudahan overdraf).

Pelepasan juga diberikan kepada pinjaman auto, pembiayaan peribadi dan kadar faedah kad kredit.

RHB Bank turut menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan ke atas pembiayaan peribadi, pembiayaan auto dan pembiayaan ASB.

Selain itu, bank turut menawarkan lanjutan tiga bulan pembayaran balik ke atas pembiayaan peribadi, pembiayaan auto dan pinjaman EASY. Ia juga tidak mengenakan caj bagi yuran penggantian kad ATM, debit dan kredit kepada pelanggan yang terjejas.

Bagi pelanggan PKS, bantuan moratorium yang dipohon oleh pelanggan terjejas akan dipertimbangkan mengikut asas kes kepada kes untuk dirujuk kepada Pasukan PKS.

Sementara itu, mulai bulan ini, Public Bank menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terbabit dalam banjir.

Moratorium itu diterima pakai bagi pinjaman dan pembiayaan perumahan, sewa beli, kad kredit serta kemudahan pinjaman dan pembiayaan yang lain.

Selain itu, Public Bank akan menyesuaikan permintaan daripada pelanggan yang terbabit untuk menstruktur semula pinjaman dan pembiayaan mereka, selain menjadualkan semula pembayaran balik bulanan untuk membantu dari segi aliran tunai, mengikut kes dan keperluan masing-masing.

Bank Islam pula melancarkan Program Prihatin khusus untuk membantu kesemua pelanggannya yang menjadi mangsa bencana banjir.

Antara bantuan diberikan ialah pengecualian yuran bagi sebarang permohonan untuk menggantikan kad debit dan buku akaun Bank Islam yang hilang atau musnah.

Pelanggan perkhidmatan pembiayaan Bank Islam boleh memohon penangguhan pembayaran bulanan pembiayaan mereka untuk selama enam bulan.

Khidmat pembiayaan yang terlibat termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Rumah-i.

Pelepasan pembayaran Yuran Ganti Rugi (Ta'widh) yang dikenakan kepada pelanggan sepanjang tempoh penangguhan pembayaran (moratorium).

Berita Harian X