Jumaat, 10 November 2017 | 3:46pm
KETUA Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank, Rohaizad Ismail (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus (dua kanan) pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MTDC dengan KAF Investment Bank Bhd bagi penyenaraian ke Bursa Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

MTDC teliti 11 syarikat untuk ke Bursa

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini sedang meneliti 11 syarikat berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Norhalim Yunus, berkata setakat ini, tiga syarikat berpotensi daripada ekosistem MTDC juga bersedia untuk disenaraikan ke Pasaran Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) atau Platform Pemecut Usahawan Utama, tahun depan.

"Syarikat berkenaan kini dalam proses penilaian bagi melihat kesesuaian serta kelayakan mereka untuk disenaraikan.

"Lagipun, proses penilaian mengambil masa agak lama kerana kita perlu tahu matlamat mereka untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MTDC dengan KAF Investment Bank Bhd bagi penyenaraian ke Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank, Rohaizad Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Norhalim berkata, MTDC kini sudah meluluskan dana sebanyak RM312.3 juta daripada keseluruhan RM315 juta yang diperuntukkan bagi 2016 dan 2017.

"Peruntukkan sebanyak RM312.3 juta itu diluluskan kepada 106 syarikat dan kelulusan adalah bergantung kepada pencapaian serta prestasi syarikat.

"Secara amnya, semua syarikat yang diluluskan pada tahun lalu sudah memenuhi pencapaian itu iaitu melaksanakan projek antara dua hingga empat tahun," katanya.

Tahun ini katanya, MTDC memperuntukkan RM170 juta untuk enam dana iaitu Dana Perolehan Teknologi, Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Dana Pembangunan Teknologi Halal, Dana Permulaan Perniagaan, Dana Perkembangan Perniagaan dan Dana Pengembangan Perniagaan.

113 dibaca
Berita Harian X