Selasa, 14 November 2017 | 6:54pm
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah (dua dari kanan) pada sesi forum program kerjasama antara MDEC dengan Axiata Digital di Menara Axiata. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hab Digital Malaysia akan diperluas

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bercadang memperluaskan Hab Digital Malaysia di luar Lembah Klang awal tahun hadapan bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga atau 'startup' di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata jika dibawakan ekosistem yang betul, pihaknya yakin jumlah syarikat pemula niaga yang berkualiti di Malaysia akan bertambah.

Antara lokasi baharu yang dicadangkan untuk Hab Digital Malaysia itu kelak adalah di Pulau Pinang, Johor termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami sedang meneroka peluang baharu dan lokasi pembukaan hab digital ini kelak kerana MDEC mahukan syarikat pemula niaga ini bakal menjadi pekerjaan masa hadapan.

"Kami mahukan inovasi baharu selain bakat muda dalam pengembangan perniagaan mereka bukan saja di Malaysia tetapi melangkaui pasaran ASEAN, Asia Selatan dan juga global.

"Hab Digital Malaysia membuka peluang kepada syarikat berkenaan berkembang menerusi integrasi dengan syarikat pemula niaga lain atau syarikat lebih berpengalaman," katanya selepas majlis Mobile Internet Fulfilment Exchange (MIFE) di sini.

Yasmin berkata, pengembangan Hab Digital Malaysia bukan saja dinilai melalui berapa banyak ia dibuka tetapi lebih kepada sistem yang ingin diberikan kepada syarikat pemula niaga.

Hab Digital Malaysia yang diumumkan penubuhannya April lalu menawarkan ruang bekerja bersama di bawah satu bumbung kepada syarikat pemula niaga.

"Namun inisiatif utama adalah meningkatkan komuniti melalui kerjasama korporat, ekosistem pembiayaan, ekosistem bakat dan juga bimbingan. Penyertaan syarikat korporat dalam hab ini adalah paling digalakkan oleh MDEC.

"Kami juga mahu golongan muda menyertai bidang perniagaan terutamanya syarikat pemula niaga kerana suatu hari nanti kita boleh menghasilkan golongan muda yang mencipta kerjaya bukan hanya pencari kerjaya," katanya.

Mengenai MIFE pula, Yasmin berkata pihaknya bekerjasama dengan Axiata Digital dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke ASEAN dan Asia Selatan melalui platform Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API).

Platform Axiata Digital MIFE katanya menyediakan usahawan akses selamat kepada servis API dan penyelesaian tanpa pendedahan kepada sistem sokongan dan maklumat.

Katanya, usahawan tempatan terutamanya syarikat pemula niaga bakal dapat akses 320 juta pangkalan pelanggan Axiata di sembilan negara

Berita Harian X