Jumaat, 17 November 2017 | 7:06pm
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim ketika sidang akhbar mengenai Prestasi Ekonomi Suku Ketiga Tahun 2017 di BNM hari ini. - Foto BERNAMA

6 pilihan dasar stabilkan pasaran hartanah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia mencadangkan enam pilihan dasar yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran hartanah tempatan.

Pilihan dasar itu adalah menggalakkan pasaran sewa, meningkatkan kecekapan dalam penyediaan rumah mampu milik dan meningkatkan kecekapan dalam peruntukan rumah mampu milik.

Dasar seterusnya adalah menguruskan bekalan baharu yang dijangka siap, mengubah semula tujuan bangunan komersial yang kosong dan meningkatkan permintaan terhadap ruang sedia ada bagi segmen bangunan pejabat dan kompleks beli belah.

Dalam Buletin Suku Tahunan Bank Negara, bank pusat berkata, bagi menggalakkan pasaran sewa, Akta Sewaan Rumah Kediaman perlu digubal dan menubuhkan Tribunal Penyewaan untuk melindungi hak penyewa dan pemilik hartanah.

Bagi meningkatkan kecekapan penyediaan rumah mampu milik pula, Bank Negara berkata, entiti tunggal perlu diwujudkan bagi mempercepatkan pengimbangan semula bekalan kepada julat berpatutan.

Bank pusat itu berkata, daya maju sebarang projek komersial baharu perlu dinilai secara teliti sebelum ia dilaksanakan dalam menguruskan bekalan baharu yang dijangka siap.

"Mengolah semula tujuan ruang komersial kosong di lokasi utama untuk menjadi aset berguna dari segi ekonomi dan mempergiatkan usaha menarik syarikat asing membuka dan mengembangkan perniagaan di Malaysia dalam usaha meningkatkan permintaan terhadap ruang komersial sedia ada.

"Langkah seterusnya ialah menggalakkan penghunian syarikat permulaan dengan memberikan rebat sewa," katanya.

Dalam rencana bertajuk Ketidakseimbangan Dalam Pasaran Hartanah, Bank Negara berkata, pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual adalah sebanyak 130,690 unit, jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad dan ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus jumlah unit tidak terjual itu berada dalam kategori harga melebihi RM250,000, sebanyak 61 peratus daripada jumlah tidak terjual terdiri daripada bangunan tinggi dengan 89 peratus daripadanya melebihi RM250,000.

Johor mempunyai bahagian unit kediaman tidak terjual yang terbesar, diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, berkata ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah menimbulkan risiko besar kepada keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan.

Beliau berkata, dengan mempunyai hubungan kepada lebih 120 industri, ketidaktentuan dalam pasaran hartanah menimbulkan risiko kepada ekonomi meluas seperti yang diperlihatkan pada krisis kewangan Asia.

Muhammad berkata, bank pusat sudah membangkitkan isu itu kepada institusi perbankan dan pendedahan institusi kewangan pada sektor berkenaan masih pada tahap yang berhemat tetapi lebihan bekalan boleh memberi kesan kepada sektor lain.

Beliau berkata, peminjam terus mendapat akses pembiayaan rumah, terutamanya pembeli rumah kali pertama.

Kadar kelulusan pinjaman perumahan adalah lebih 70 peratus, sementara kadar penolakan kekal di bawah purata empat tahun pada 23.3 peratus, katanya, sambil menambah pembiayaan pembelian rumah spekulatif kekal direndahkan.

Berita Harian X