Selasa, 21 November 2017 | 4:50pm

Pelabur runcit Bursa Malaysia semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Pembabitan pelabur runcit ke dalam Bursa Malaysia semakin meningkat, yang mana setakat September 2017, jumlah purata harian (ADV) berada pada RM572 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, ia mewakili peningkatan 16 peratus berbanding RM385 juta ADV runcit dicatat bagi keseluruhan 2016.

"Saya gembira secara keseluruhan pembabitan pelabur runcit semakin meningkat.

"Membawa pelabur runcit ke dalam pasaran sentiasa menjadi keutamaan buat kita semua.

"Kita mahu mereka tahu bahawa pelaburan dalam pasaran saham boleh menambah pendapatan dan membantu mereka dalam menambah kekayaan," katanya pada majlis pelancaran kempen pendidikan What's Your Goal di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, Bursa Malaysia mensasar meningkatkan pembabitan pelabur runcit ke dalam pasaran saham kepada 25 peratus dalam tempoh terdekat berbanding 23 peratus pada Oktober 2017.

Katanya, setakat akhir Oktober 2017 Bursa Malaysia bersama-sama rakan broker melaksanakan satu siri program pendidikan berstruktur disasarkan kepada mereka yang baru hendak melabur dan pelabur sedia ada.

Beliau berkata, jumlah peserta program itu menyaksikan jumlah peserta mencecah 24,000 berbanding hanya 9,000 pada 2016, mewakili peningkatan 150 peratus.

Ditanya berhubung arah aliran kemasukan dana asing ke dalam Bursa Malaysia, beliau berkata ia masih kukuh dengan jumlah keseluruhan aliran masuk bersih melebihi paras RM9 bilion, sekali gus membayangkan Bursa Malaysia kekal destinasi pasaran menarik kepada pelabur asing, sungguhpun berlaku aliran keluar yang lebih bersifat kitaran.

Berkenaan kempen pendidikan What's Your Goal, Tajuddin berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran awam, khususnya golongan millennial dan penuntut institusi pengajian tinggi berhubung pelaburan dalam pasaran saham.

Beliau berkata, kempen itu menyaksikan Bursa Malaysia bekerjasama dengan organisasi lain bagi memperkasakan rakyat Malaysia memenuhi aspirasi dan matlamat kewangan menerusi pelaburan dalam pasaran saham.

Kempen berlangsung tiga bulan mulai hari ini hingga Februari 2018.

Sempena kempen itu, 80 seminar dan bengkel pelaburan akan diadakan, bermula November di Kuala Lumpur sebelum ke negeri lain.

Tajuddin berkata, jerayawara ke seluruh negara akan turut diadakan bagi menggalakkan dan membantu orang awam membuka akaun Sistem Deposit Berpusat (CDS) bagi membolehkan mereka mula melabur.

"Pendidikan bermula dengan kesedaran," katanya.

Berita Harian X