Rabu, 6 Disember 2017 | 6:50pm

Bitcoin catat rekod tertinggi baharu AS$12,000

TOKYO: Bitcoin meneruskan arah aliran peningkatan apabila melepasi paras AS$12,000 semalam, paras tertinggi baharu bagi mata wang kripto itu.

Begitupun, persoalan semakin memuncak di pasaran mengenai nilai sebenar mata wang kripto dan kebimbangan terhadap gelembung pasaran.

Bitcoin mendapat rangsangan selepas pengumuman Jumaat lalu oleh pengawal selia utama derivatif Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan CME Group Inc dan CBOE Global Markets menyenaraikan kontrak niaga hadapan bitcoin.

Langkah itu membuka pintu untuk menambah peraturan tetapi juga lebih banyak penerimaan di peringkat arus perdana, apabila niaga hadapan bitcoin dan derivatif lain akan memudahkan untuk perdagangan kelas aset baru.

Peningkatan mendadak bitcoin sebanyak lebih 10 kali ganda dari tahap terendah iaitu bawah AS$1,000 pada awal tahun ini telah menarik pemerhatian rapi pengawalseliaan di seluruh dunia.

Beberapa individu berprofil tinggi seperti ahli ekonomi yang juga pemenang Hadiah Nobel, Joseph Stiglitz, telah mengatakan bahawa mata wang kripto harus diharamkan.

"Ia mengambil masa yang lama untuk mewujudkan metodologi dan cara bitcoin didagangkan. Permohonan asal hadir dari fakta bahawa ia tidak tertakluk kepada peraturan. Bagaimanapun, ia jelas telah keluar daripada bayang-bayang dan menjadi tumpuan," kata Mick McCarthy, ketua strategi pasaran CMC Markets di Sydney.

"Kita berada di tahap gelembung pasaran dan salah satu ciri gelembung pasaran ialah tidak ada cara untuk mengetahui apabila gelembung akan pecah."

Kegilaan semasa terhadap bitcoin dan mata wang kripto secara umum, telah disamakan dengan beberapa penggemar tulip Belanda pada abad ke-17 dan lebih terbaharu gelembung dotcom.

Bitcoin kali terakhir naik 4.48 peratus pada AS$12,200.40 di bursa Bitstamp BTC>BTSP yang berpangkalan di Luxembourg, selepas melonjak ke paras tertinggi rekod iaitu AS$12,276.00.

"Terdapat banyak wang yang mengalir ke bitcoin sekarang, kebanyakannya didorong oleh "ketakutan terhadap kehilangan" dan ketamakan," kata Leonhard Weese, presiden Persatuan Bitcoin Hong Kong - Reuters

Berita Harian X