Khamis, 7 Disember 2017 | 1:42pm

Bursa Malaysia akhiri sesi pagi bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi bercampur-campur dengan indeks penanda aras kekal tinggi mendapat sokongan belian terhadap saham utama terpilih, diterajui Sime Darby Plantation.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.47 mata kepada 1,720.8 daripada 1,718.33 penutup Rabu.

Ia bergerak di antara 1,719.1 dan 1,723.4 sepanjang sesi.

Indeks itu dibuka 3.38 mata lebih tinggi pada 1,721.71.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 359 berbanding 311 dengan 396 tidak berubah, 791 tidak didagangkan dan 45 yang lain digantung.

Sejumlah 754.18 juta saham bertukar tangan bernilai RM873.44 juta.

Dalam kalangan saham utama, Sime Darby Plantation melonjak 22 sen kepada RM5.09, Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM7.44, Genting Malaysia naik 10 sen kepada RM5.26, CIMB menambah tiga sen kepada RM6, manakala IHH Healthcare, Maybank dan TNB mendatar masing-masing kepada RM5.60, RM9.26 dan RM15.62.

Public Bank turun empat sen kepada RM19.98. - BERNAMA

Berita Harian X