Isnin, 11 Disember 2017 | 10:20am

Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka dalam lingkungan positif pagi ini seiring dengan prestasi memberangsangkan di Wall Street pada Jumaat.

Pada jam 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,723.30, naik 2.05 mata, daripada 1,721.25 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka 0.32 mata lebih rendah pada 1,720.93.

Di pasaran, saham untung mengatasi saham rugi pada 136 berbanding 90, manakala 175 kaunter tidak berubah, 1,451 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 124.71 juta saham bernilai RM541.85 juta.

Penggerak utama dalam saham komponen FBM KLCI pada awal dagangan ialah MISC yang meningkat lapan sen kepada RM7.20, Sime Darby Plantation danTenaga yang naik empat sen setiap satu, masing-masing kepada RM5.33 dan RM15.56, manakala Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.44.

Indeks ekuiti utama AS, purata industri Dow Jones, mencecah paras tinggi pada Jumaat, naik 118 mata dan ditutup pada paras 24,329 mata selepas pengumuman laporan pekerjaan yang kukuh.

Indeks FBM Emas menambah 21.38 mata kepada 12,366.78, Indeks FBMT100 naik 20.38 mata kepada 12,040.17 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 33.94 mata kepada 12,825.22.

FBM 70 melonjak 47.05 mata kepada 15,157.31 dan FBM Ace menambah 8.56 mata kepada 6,240.97.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan naik 4.00 mata kepada 15,993.04, Indeks Perusahaan menambah 7.18 mata kepada 3,156.49, tetapi Indeks Perladangan berkurangan 2.60 mata kepada 7,853.48.

Antara saham aktif, Sapura Energy menokok dua sen kepada 85 sen, Green Packet naik satu sen kepada 46 sen, Hibiscus menambah dua sen kepada 80 sen, manakala PUC dan Nexgram, kekal, masing-masing kepada 21.5 sen dan 3.5 sen. - BERNAMA

Berita Harian X