Isnin, 11 Disember 2017 | 10:23am

Ringgit dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini setelah minat terhadap mata wang tempatan kembali, disokong oleh kesan limpahan positif daripada data perdagangan yang tinggi dan unjuran keluaran dalam negara kasar yang kukuh, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan dibuka pada 4.0850/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0890 pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata prestasi perdagangan yang lebih baik mendorong momentum belian bagi mata wang tempatan.

Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2017 melonjak 19.8 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM154.26 bilion, dengan eksport meningkat 18.9 peratus kepada RM82.41 bilion.

Peniaga itu berkata ringgit masih mempunyai ruang untuk naik setelah sentimen positif luar dan domestik mempengaruhi dolar AS.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali berbanding euro.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0188/0230 daripada 3.0191/0217 pada Jumaaat, meningkat berbanding yen kepada 3.5941/5976 daripada 3.5983/6011 dan menokok berbanding pound kepada 5.4694/4746 daripada 5.5076/5107 sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding euro pada 4.8089/8128 daripada 4.7961/7997 pada Jumaat. - BERNAMA

Berita Harian X