Khamis, 14 Disember 2017 | 7:38pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata bergambar dengan motosikal yang baharu Honda RC213V-S semasa program BSH akhir tahun bersama media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Aizuddin Saad

BSH catat jualan 113,000 unit

[email protected]

SEPANG: Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) mencatatkan jualan kira-kira 113,000 unit setakat November tahun ini, 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Pengerusi merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wira Tan Hui Jing, berkata daripada jumlah itu, model cub paling larisnya, RS150R menyumbang 25 peratus, manakala bakinya hadir daripada pelbagai rangkaian model termasuk skuter.

"BSH menjual kira-kira 10,000 unit motosikal sebulan dengan 3,000 daripadanya adalah RS150R sekali gus menjadikan ia model penyumbang terbesar kepada jualan kami.

"Bagi motosikal berkuasa besar di bawah label BigWing, BSH menjual kira-kira 400 unit bagi tempoh enam bulan dan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan 1,000 unit menjelang akhir tahun," katanya ketika ditemui BH pada program BSH akhir tahun bersama media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

Turut hadir ke program itu adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata.

Hui Jing berkata, BSH akan memperkenalkan 10 model baharu dan dipertingkatkan tahun depan bagi menyokong pertumbuhan jualan syarikat meskipun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

"Daripada 10 model ini, tiga daripadanya adalah model serba baharu merangkumi segmen skuter dan cub.

"Kita juga menjangkakan penguasaan pasaran BSH meningkat kepada 30 peratus tahun depan daripada 25 peratus ketika ini," katanya.

Mengenai BigWing, beliau berkata, BSH akan membuka empat pusat jualan dan servis baharu tahun depan masing-masing dua di Lembah Klang dan satu di Pulau Pinang dan Johor.

"Tahun depan BSH meninjau untuk mengembangkan label BigWing di pasaran tempatan sekali gus mengembangkan barisan produk motosikal berkuasa besar di pasaran domestik," katanya.

Info: BSH akan lancar 10 model baharu pada 2018

Berita Harian X