Ahad, 17 Disember 2017 | 5:23pm
DATUK Norhalim Yunus.- Foto Rosela Ismail
DATUK Norhalim Yunus.- Foto Rosela Ismail

Industri 4.0: Syarikat pemula akan terus dibantu

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula niaga atau 'start-up' tempatan yang terbabit dalam pembangunan teknologi masa depan perlu disokong dari segi kewangan dan pelaburan bagi membolehkan mereka berkembang serta membantu syarikat tempatan menembusi revolusi industri 4.0 (Industri 4.0).

Ini termasuk start-up yang terbabit dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan robotik, 'augmented reality', realiti maya dan superkomputer.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus, berkata pihaknya percaya start-up terbabit boleh membantu mempercepatkan pelaksanaan Industri 4.0 untuk syarikat tempatan.

Bagaimanapun katanya, bergantung kepada jenis industri, tidak semua syarikat di Malaysia kini bersedia untuk menempuhi Industri 4.0 serta merta sebaliknya perlu dibuat secara berperingkat.

"Industri 4.0 ini tidak datang seperti mana Y2K dulu yang selepas jam 12 tengah malam, ia akan terus berlaku. Sebaliknya ia perlu dilakukan secara berperingkat.

"Ada syarikat tempatan yang semakin hampir dan ada yang masih jauh untuk sampai ke industri 4.0 ini dan mereka perlukan masa untuk beralih ke arahnya.

"Tetapi yang penting dalam konteks ini, kita perlu melabur lebih banyak dalam start-up yang terbabit dengan Industri 4.0 kerana mereka akan menyumbang kepada perkembangan syarikat lain, dan dan ini yang sedang MTDC lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH dan NST ketika ditemui di luar Forum Ekonomi Islam (WIEF) ke-13 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Norhalim berkata, MTDC sendiri sudah melabur dalam dua syarikat tempatan yang menghasilkan produk berkaitan automasi dan robotik.

Kedua-dua syarikat ini katanya, dijangka disenaraikan ke pasaran awam tahun depan dengan mengeksport lebih 90 peratus produk mereka ke luar negara dan 98 peratus daripada pendapatan mereka disumbang daripada kegiatan eksport.

Berita Harian X