Selasa, 19 Disember 2017 | 8:04pm
PENASIHAT Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan Ketua Ahli Ekonomi Asia Oxford Economics, Sian Fenner. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENASIHAT Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan Ketua Ahli Ekonomi Asia Oxford Economics, Sian Fenner. - Foto Luqman Hakim Zubir

Permintaan domestik pemacu utama ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Permintaan domestik akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan bagi Malaysia pada 2018, disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan dan pelaburan yang kukuh, terutama dalam perbelanjaan infrastruktur.

Penasihat Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan Ketua Ahli Ekonomi Asia Oxford Economics, Sian Fenner, berkata projek utama seperti Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura dijangka menerajui pertumbuhan.

"Fasa Satu HSR dijangka bermula pada 2018, dan kerajaan Malaysia juga memperuntukkan RM6.5 bilion di bawah Bajet 2018 untuk membangunkan infrastruktur luar bandar," katanya di sini hari ini.

"Kami juga menjangkakan keadaan pasaran pekerjaan dan perbelanjaan infrastruktur yang kukuh, dibiayai menerusi domestik dan pelaburan langsung asing untuk terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pelaburan."

Bagaimanapun, Fenner berkata, kos membayar hutang isi rumah dijangka meningkat sejajar dengan jangkaan kenaikan kadar 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018 juga dijangka lebih rendah kepada 5.1 peratus berbanding jangkaan enam peratus berikutan pertumbuhan eksport yang sederhana dan keadaan kredit yang ketat.

"Pemulihan yang diselaraskan dalam pertumbuhan global akan terus menyokong eksport," kata Fenner.

"Bagaimanapun momentum dijangka reda selepas 2018 berikutan pemulihan perdagangan global memasuki fasa yang lebih matang dan pertumbuhan import China yang perlahan berikutan pengetatan dasar monetari," katanya.

ICAEW juga jangka inflasi teras akan berkembang di tengah-tengah permintaan domestik yang kukuh, dengan inflasi utama dijangka sederhana kepada 2.9 peratus pada 2018, berbanding jangkaan 3.8 peratus.

"Secara keseluruhan, kami jangka proses normalisasi dasar monetari pada 2018 oleh Bank Negara akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan disampaikan dengan baik.

"Kitaran normalisasi makro yang sangat beransur-ansur, bersama dengan aliran kukuh dalam pertumbuhan global dijangka memastikan pertumbuhan kekal berdaya tahan di Malaysia dan di rantau ini," katanya.

Diasaskan pada 1880, ICAEW adalah organisasi keanggotaan profesional terkemuka dunia yang beribu pejabat di London dengan pejabat antarabangsa di Kuala Lumpur, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X